Produk kosmetik Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster dikesan mengandungi racun - KKM

LocalBeauty
12 Jul 2023 • 11:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Produk kosmetik Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster dikesan mengandungi racun - KKM

zulfadli

12/07/2023 - 11:53

KUALA LUMPUR 12 Julai - Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai tidak membeli dan menggunakan produk kosmetik Armila Beauty Kak ELL Pigment Booster yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata produk kosmetik berkenaan mengandungi racun betamethasone 17-valerate.

"Notifikasi produk kosmetik terbabit sudah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, produk yang mengandungi betamethasone 17- valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

"Penggunaan produk yang mengandungi bahan terbabit boleh menyebabkan kesan sampingan tidak diingini seperti menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat dan perubahan pada pigmentasi kulit.

"Selain itu, penggunaannya tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan juga boleh meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat," katanya.

Dr Muhammad Radzi berkata, penjual dan pengedar produk berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya, lapor Berita Harian.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang awam yang sedang menggunakan produk berkenaan supaya menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. - DagangNews.com