Produk Lampu Pintar WiZ Kini Diperkenalkan Untuk Pasaran Tempatan Oleh Signify Malaysia

TechnologyDigital
8 Aug 2024 • 5:39 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Signify, syarikat pencahayaan dan lampu pintar dibawah jenama perkakasan elektrik terkemuka Philips baru-baru ini telah mula membawa masuk aksesori lampu pintar mereka, WiZ. Sedikit berbeza dengan Philips Hue, WiZ hadir dengan pemasangan yang lebih mudah, disamping memperkenalkan pengguna kepada sokongan teknologi yang lebih meluas.

image is not available

Dimana Philips Hue hadir dengan komponen hab yang perlu disambungkan ke penghala WiFi, lampu-lampu pintar WiZ tidak memerlukan semua itu, dan boleh disambungkan secara terus melalui aplikasi WiZ yang boleh dimuat-turun di Apple App Store dan Google Play Store.

image is not available

Sama seperti Hue, pengguna boleh mengubahsuai kecerahan lampu, rona warna, tetapan buka dan tutup, zona lampu-lampu yang dipasang dan sebagainya melalui aplikasi WiZ. Ciri unik seperti WiZ SpaceSense membolehkan pengguna menggunakan gelombang WiFi pada lampu-lampu ini untuk mengesan pergerakan di sekelilingnya yang boleh digunakan sebagai cara untuk memasang lampu tanpa perlu menekan suis.

image is not available

Dalam pada itu, ia juga menyokong sambungan IoT sumber terbuka Matter, dan boleh disambungkan kepada aplikasi Google Home dan Apple HomeKit. Tetapi menurut pihak Signify, sambungan ke platform-platform ini hadir dengan sokongan terhad seperti buka dan tutup lampu dan mengubahsuai kecerahan lampu sahaja.

Signify Malaysia mengatakan bahawa produk-produk WiZ sudahpun mula ditawarkan di kedai atas-talian rasmi Shopee Malaysia dan Lazada Malaysia, dan tidak lama lagi, lebih banyak produk WiZ seperti lampu untuk halaman rumah dan juga produk-produk kamera keselamatan akan mula ditawarkan juga.