
Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 33 tahun yang kini hamil tujuh bulan didenda berjumlah RM1,300 kerana memiliki dan menjual kosmetik tanpa notifikasi serta produk tidak berdaftar.
Sofinah Osman, yang merupakan pesalah kali pertama, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, terhadap empat pertuduhan dihadapinya pada Rabu.
Bagi pertuduhan pertama, Sofinah diberi amaran dan dilepaskan atas kesalahan memiliki untuk dijual satu produk tidak berdaftar iaitu sekotak Herba Kurus Tradisi pada jam 11.30 pagi, 15 Februari 2024 di Rania Fashion and Cosmetic di Taman Kedai Pengalat Besar, Papar.
Kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didenda RM300 atau tujuh hari penjara kerana menjual kosmetik tanpa notifikasi iaitu satu set Glow Glowing Beauty skin di tempat dan masa yang sama.
Untuk pertuduhan ketiga, Sofinah diperintah membayar denda RM500 atau 14 hari penjara kerana memiliki 12 produk tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan di tempat dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan keempat, dia didenda lagi RM500 atau dua minggu penjara kerana memiliki 13 kosmetik tanpa notifikasi di tempat dan masa yang sama.
Semasa mitigasi, Sofinah memohon hukuman ringan dengan menyatakan bahawa dia sedang hamil dan terpaksa menjual produk-produk berkenaan kerana masalah kewangan sewaktu berpantang selepas melahirkan anak pertama.
Dia juga memaklumkan mahkamah bahawa perniagaan itu sudah tidak lagi beroperasi.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Norhidayu Soon Gin Yee dari Bahagian Farmasi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan menyatakan bahawa produk tidak berdaftar dan kosmetik tanpa notifikasi bernilai RM2,761 telah dirampas semasa serbuan ke atas premis tersebut berdasarkan aduan orang awam.
Beliau juga berhujah bahawa kaedah pemprosesan dan penghasilan produk-produk berkenaan adalah diragui dan tahap keselamatannya tidak pasti serta berkemungkinan besar dikendalikan dan dibungkus di kilang yang tidak mengamalkan kaedah selamat dan bersih.
Oleh itu, kualiti dan keselamatan produk terbabit adalah meragukan, kata Norhidayu.
