Profesor Charles bebas 21 tuduhan tuntutan palsu dana penyelidikan

LocalPolitics
11 Sep 2026 • 4:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Profesor Charles bebas 21 tuduhan tuntutan palsu dana penyelidikan

KOTA KINABALU: Seorang profesor sebuah universiti awam, hari ini dibebaskan daripada 21 tuduhan membuat tuntutan palsu bagi dana penyelidikan berkaitan hidupan marin Sabah.

Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga melepas dan membebaskan Prof Dr Charles Santhanaraju Vairappan selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.

Jason dalam penghakimannya membebaskan Charles tanpa perlu membela diri, berkata mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan elemen dalam pertuduhan.

“Dalam menilai keterangan dikemukakan di hadapan mahkamah sepanjang kes pendakwaan dan berdasarkan fakta yang ada, saya mendapati terdapat keraguan terhadap keterangan yang dikemukakan.

“Ia sehingga menyebabkan pertuduhan tidak dapat dibuktikan bahawa tertuduh mengemukakan dokumen yang mempunyai alasan untuk dipercayainya mengandungi butiran material palsu dengan niat untuk memperdayakan prinsipal seperti dinyatakan dalam pertuduhan,” katanya.

Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan dipulangkan dan pasport tertuduh dikembalikan.

Pada 20 Jun 2022, Charles didakwa dengan 21 tuduhan mengemukakan dokumen tuntutan, iaitu resit rasmi yang mengandungi butiran palsu kepada pegawai Jabatan Bendahari Universiti Malaysia Sabah (UMS) antara Mei 2014 hingga April 2017, dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya.

Resit berkenaan menyatakan bayaran antara RM300 hingga RM5,550, dengan jumlah keseluruhan RM66,190, bagi aktiviti menyelam, sewaan bot ke beberapa pulau dan sewaan van, sedangkan perbelanjaan itu sebenarnya tidak pernah berlaku.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah yang terbabit atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan kes, pendakwaan memanggil 26 saksi. Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rustam Sanip, manakala peguam Zahir Shah, Baldev Singh dan Kelvin Wong mewakili tertuduh.

The post Profesor Charles bebas 21 tuduhan tuntutan palsu dana penyelidikan appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved