
TONGGAK import Johor Darul Ta’zim (JDT), Oscar Arribas mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas mengemas kini profil Instagram miliknya dengan bendera Jalur Gemilang.
Tindakan pemain kelahiran Sepanyol itu mencetuskan spekulasi bahawa dia mungkin sedang menuju ke arah proses naturalisasi bagi mewakili Harimau Malaya selepas ini.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada pengurusan JDT mahupun pemain berusia 28 tahun itu mengenai perkara terbabit.
Arribas yang menyertai Harimau Selatan sejak 2023 dan kini semakin hampir memenuhi syarat untuk mendapatkan status pemain tempatan sekiranya kekal beraksi di Malaysia sehingga penghujung tahun depan.
Walaupun hadir dengan status pemain import kuota ASEAN kerana memiliki darah warisan Filipina, Arribas masih belum pernah mewakili skuad The Azkals di pentas antarabangsa.
Antara syarat utama Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mana-mana pemain dinaturalisasi adalah kekal bermastautin di negara selama lima tahun berturut-turut.
Sebagai rekod, ini bukanlah kali pertama Jalur Gemilang menghiasi profil pemain import JDT selepas penyerang sensasi, Bergson Da Silva itu turut melakukan perkara sama tahun lalu.
Cuma, sehingga kini status Bergson masih belum dipastikan walaupun Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan proses naturalisasi pemain kelahiran Brazil itu semakin hampir.
Antara pemain import yang sudah dinaturalisasi sebelum ini adalah Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Paulo Josue, Romel Morales dan Sergio Aguero.
The post Profil IG Arribas cetus persoalan appeared first on Kosmo Digital.

