Program Back To Nature bantu golongan sasar pelajari kemahiran baharu: Juliah

24 Jul 2022 • 2:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Program ‘Back To Nature’ mampu membantu golongan sasar seperti suri rumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) mempelajari kemahiran baharu yang mampu membantu mereka menjana pendapatan, terutama selepas pandemik Covid-19, kata isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag

Menerusi program ini, katanya, ia menyasarkan untuk melahirkan seramai 500 usahawan yang akan dibekalkan dengan latihan kemahiran serta keusahawanan ‘Natural Dye’ dan ‘Eco Printing’ supaya mereka dapat menghasilkan produk sebagai sumber pendapatan dan memasarkannya sendiri kepada pelanggan.

“Saya mengucapkan syabas kepada Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia atau PSJKM Sabah dan Sarawak, Thien Tsui Yan dan juga pasukannya yang memberi peluang kepada wanita di Sabah terutama golongan sasar seperti suri rumah, ibu tunggal, dan OKU untuk mempelajari kemahiran baharu yang mampu membantu mereka menjana pendapatan.

“Program ini juga akan mendekatkan diri kita dengan alam sekitar dan merupakan satu idea yang baik bagi mendidik masyarakat untuk bersahabat dengan alam, memastikan keindahannya masih dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.

Juliah berkata demikian ketika merasmikan Program Back To Nature di Pusat Membeli-Belah Suria Sabah di sini, pada Jumaat.

Program anjuran Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) itu bertemakan `Vaksinasi Cegah Covid-19, Kemahiran Cegah Kemunduran’.

Selain 500 golongan sasar yang menyertai program itu, beliau berkata 1,043 lagi telah memohon untuk mengikuti kursus anjuran PSJKM itu dan kini berada dalam senarai menunggu.

Dalam perkembangan berkaitan, Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (Mutiara GRS-BN) berkata, negara yang kini berada dalam fasa endemik, bukanlah alasan untuk rakyat tidak produktif.

“Walaupun rakyat harus terus berwaspada dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan untuk mencegah penularan Covid-19, ia bukan penghadang untuk rakyat terus menimba ilmu demi mencari rezeki dan meningkatkan punca mata pencarian.

“Penjualan produk Natural Dye dan Eco Printing, produk yang mesra alam ini juga sudah mula dipraktikkan secara meluas dan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa,” katanya.

Juliah berkata PSJKM sendiri mempunyai platform perniagaan dalam talian iaitu ‘The Tunku Azizah Handmade Market Online’ yang kini mempunyai seramai 213 orang perintis yang berjaya menjana pendapatan melaluinya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.