
KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) kerana kadar tuntutan bagi perlindungan sosial itu terlalu sedikit berbanding peruntukan yang disediakan.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kajian Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati hanya 490 penerima atau 0.01 peratus mendapat manfaat daripada program itu.
Menurutnya, jumlah itu terlalu sedikit berbanding peruntukan RM354 juta yang disediakan kerajaan untuk melaksanakan PTV bagi memberi perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah.
“Bukan kita meninggalkan terus PTV ini, tetapi apabila BNM buat kajian daripada 8.7 juta orang yang sepatutnya menerima baucer ini, yang diuruskan 4.9 juta penerima dan yang ditebus hanya 0.01 peratus.
“Hanya 490 orang yang mendapat faedah daripada 354 juta insurans. Terlalu sedikit yang dilindungi oleh PTV ini, oleh itu kerajaan perkenalkan mySalam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang bertanya apakah rancangan dasar jangka panjang yang dilaksanakan kerajaan bagi memastikan kadar kemiskinan dalam kalangan B40 dikurangkan.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan bagaimanapun meneruskan skim mySalam bagi memberikan perlindungan kesihatan dan takaful kepada individu yang layak.
“Sejak 2019, (mySalam) kita memperuntukkan RM8,000 untuk 45 jenis penyakit kritikal. Jika masuk wad, pesakit diberi RM50 sehari maksimum 14 hari. Ini bagi mereka yang berumur 21 tahun hingga 65 tahun.
“Kita juga teruskan Skim Peduli Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) sejak 2018 kepada individu berusia 40 tahun ke atas untuk diberi saringan kesihatan, alat perubatan, insentif kanser, insentif pengangkutan dan sebagainya.
“Selain itu, kita juga teruskan khairat kematian, yang mana penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan meninggal dunia, waris akan diberikan RM1,000 oleh Kementerian Kewangan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya. – Getaran, 14 Jun 2023

