
LUMUT – Program Penghantaran Wakaf Al-Quran Bayu Kasih oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini melakar sejarah apabila ia menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).
Bahagian Komunikasi Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM Lumut berkata, pengiktirafan itu diberi atas pencapaiannya menghantar 100,000 naskhah al-Quran ke Sabah sejak program itu diperkenalkan pada 2021.
“TLDM meneruskan komitmen menyokong pembangunan rohani masyarakat menerusi Program Penghantaran Wakaf Al-Quran, Bayu Kasih 6.0, dengan penghantaran 16,000 naskhah al-Quran ke Sabah menerusi KD Mahawangaa.
“Majlis penyerahan yang berlangsung di Wisma Perwira KD Mahawangsa hari ini turut menyaksikan pengiktirafan MBOR terhadap pencapaian Program Bayu Kasih,” katanya di sini hari ini.
Program Bayu Kasih merupakan usaha kolaboratif antara TLDM dan pertubuhan bukan kerajaan, Imam Care dalam memperluas akses kepada naskhah al-Quran, khususnya bagi masyarakat di Sabah serta kawasan pedalaman dan sempadan.
Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan kesinambungan kerjasama strategik TLDM bersama rakan strategik dalam menyokong pembangunan ummah.
“Ia di samping memperkukuh tanggungjawab sosial TLDM terhadap kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi untuk terus berkhidmat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Program Bayu Kasih TLDM diiktiraf MBOR, hantar 100,000 al-Quran ke Sabah appeared first on Kosmo Online.






