
KUALA LUMPUR: Program Pemadanan Perniagaan (BizMatch) Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) mampu memainkan peranan dalam memupuk perkongsian serta kerjasama antara delegasi Afrika dan pengeksport minyak sawit Malaysia.
Program padanan perniagaan itu adalah sebahagian daripada inisiatif MPOC yang lebih luas, yang mana 10 wakil industri terkemuka daripada syarikat minyak serta lemak di tujuh negara Afrika melawat Malaysia melalui selama empat bagi meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia dan produk berkaitan ke Afrika.
Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Sron berkata majlis itu menjangkakan sesi yang produktif dan keyakinan bahawa inisiatif ini akan menjadi pemangkin pertukaran serta hubungan yang bakal menguntungkan kedua-dua wilayah.
Lawatan itu merangkumi pelbagai aktiviti untuk memberikan gambaran menyeluruh tentang sektor kelapa sawit.
Belvinder berkata lawatan itu merupakan komponen utama dalam usaha pembangunan pasaran MPOC dan merupakan program ketiga yang dianjurkan pada tahun ini.
Ia merupakan susulan lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ke Kenya pada awal Jun lepas ketika beliau merasmikan Forum Minyak Sawit Malaysia 2023 serta bertemu dengan pemegang kepentingan industri minyak dan lemak utama untuk meneroka peluang eksport ke rantau Afrika Timur. Beliau juga Menteri Perladangan dan Komoditi.
Belvinder menjelaskan lagi, Sub-Sahara Afrika adalah sangat bergantung kepada minyak sawit sebagai bahan mentah utama dalam industri minyak makan, menyumbang 66 peratus daripada jumlah penggunaan minyak dan lemak pada 2022.
Permintaan yang semakin meningkat di rantau ini untuk minyak sawit memberikan peluang yang besar kepada eksport Malaysia. Menjelang 2022, eksport minyak sawit Malaysia ke wilayah Sub-Sahara membentuk 14.8 peratus daripada jumlah eksport minyak sawitnya, dengan jumlah dagangan mencecah 2.3 juta tan.
Pada Mac 2023, MPOC mengetuai sekumpulan 11 pengeksport minyak sawit Malaysia ke Uzbekistan dan Kazakhstan, selain menganjurkan aktiviti rangkaian perdagangan di rantau tersebut. Ini diikuti dengan lawatan 18 pembeli dari Filipina, Vietnam dan Myanmar pada Jun.-Bernama
