
SHAH ALAM, 4 MEI: Pelbagai program kebudayaan termasuk Rentak Selangor dan Fiesta Makanan diteruskan sebagai usaha menyemarakkan lagi Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
EXCO kebudayaan berkata inisiatif dilaksana menerusi kerjasama rentas portfolio dengan Stanco Pelancongan bertujuan menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke negeri ini.

“Antara perancangan termasuklah membawa Fiesta Makanan yang sebelum ini dianjur di Sepang ke Kuala Selangor pada November nanti.
“Kita juga teruskan program Rentak Selangor, pesta rakyat dalam bentuk tarian dan persembahan. Semua acara ini menyumbang kepada peningkatan pelancong sempena TMS2025,” kata Datuk Borhan Aman Shah kepada Media Selangor.

Borhan memberitahu pembukaan semula Muzium Sultan Alam Shah sejak Februari lalu turut menyumbang kepada kehadiran pelancong.
Menurutnya, muzium yang mempamerkan lebih 1,000 bahan pameran termasuk artifak sejarah itu menarik lebih 50,000 pengunjung setakat ini dan dijangka terus meningkat menjelang musim cuti persekolahan.
“Usaha ini seiring kempen TMS2025 yang memberi fokus kepada pelancongan seni, budaya dan warisan negeri,” katanya.

Baru-baru ini, EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim memaklumkan dua juta pelancong direkodkan hadir ke Selangor dalam tempoh suku pertama tahun ini.
TMS2025 menyasarkan kehadiran lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan anggaran kutipan resit pelancongan bernilai RM11.7 bilion.
Lebih 60 program dan acara dirangka termasuk dalam segmen eko, agro, seni dan budaya sepanjang kempen berlangsung.



The post Program budaya terus diperhebat, semarakkan lagi kempen TMS2025 appeared first on Selangorkini.
