Program CeIO perlu patuh syarat 80 peratus kehadiran untuk pentauliahan - SPRM

LocalPolitics
12 May 2026 • 1:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Program CeIO perlu patuh syarat 80 peratus kehadiran untuk pentauliahan - SPRM
Junipah mempengerusikan Mesyuarat JTPPIB di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Isnin. Foto: SPRM

PUTRAJAYA – Syarat kehadiran minimum 80 peratus bagi Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) perlu dipatuhi sepenuhnya sebelum seseorang peserta dibenarkan menduduki penilaian pentauliahan.

Perkara itu ditegaskan Jawatankuasa Tetap Program Pegawai Integriti Bertauliah (JTPPIB).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Junipah Wandi berkata, pematuhan terhadap syarat kehadiran itu amat penting bagi memastikan peserta menunjukkan tahap komitmen tinggi sepanjang program serta benar-benar bersedia menggalas tanggungjawab sebagai pegawai integriti di organisasi masing-masing.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi JTPPIB berkata, ketua jabatan bertanggungjawab dalam memastikan hanya pegawai yang bebas daripada rekod tatatertib serta mempunyai tahap integriti baik dicalonkan menyertai Program CeIO selaras dengan syarat permohonan ditetapkan di bawah Perdana Menteri Siri 1 No 1 Tahun 2011.

"Penegasan ini penting bagi memastikan imej, kredibiliti dan profesionalisme CeIO terus terpelihara.

"Ini kerana mereka merupakan individu yang menjadi rujukan utama organisasi dalam aspek integriti, pematuhan dan tadbir urus," katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat JTPPIB Siri 7 Bil 1/2026 di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini pada Isnin.

Mesyuarat yang diurusetiakan oleh Pusat Pembangunan Integriti Korporat (CIDC), Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) itu turut membincangkan perkembangan modul Program CeIO yang telah ditambah baik dan diluluskan oleh Lembaga Pengiktirafan Pegawai Integriti Bertauliah (LPPIB), selain status pengemaskinian draf Arahan Perdana Menteri baharu yang telah dipersetujui secara prinsip dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) pada 12 Mac 2026.

Pada mesyuarat itu, Junipah turut merakamkan penghargaan kepada CIDC atas kejayaan penganjuran Majlis Konvokesyen CeIO Ke-12 yang berlangsung pada 14 April lalu.

Seramai 486 pegawai daripada sektor awam, Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan swasta berjaya ditauliahkan melalui pelaksanaan 10 siri Program CeIO secara terbuka dan in-house.

Beliau berkata, pencapaian tersebut mencerminkan komitmen berterusan MACA melalui CIDC dalam melahirkan pegawai integriti yang kompeten serta berupaya memperkukuh sistem tadbir urus organisasi secara lebih berkesan.

Dalam memastikan kelangsungan program, CIDC turut diarahkan supaya pelaksanaan Program CeIO dilaksanakan secara lebih berhemah dan strategik dengan mengambil kira kekangan bajet semasa, langkah penjimatan serta Krisis Tenaga Global yang memberi kesan terhadap pengurusan kewangan dan operasi.

Katanya, pendekatan lebih kos efektif dan fleksibel dilihat penting bagi memastikan agenda pembangunan integriti negara dapat diteruskan tanpa menjejaskan kualiti serta keberkesanan pelaksanaan program.

 

View Original Article