‘Roadshow’ interaktif yang menyeronokkan bertujuan memupuk literasi kewangan dengan fasa pertamanya menyasarkan lebih 17,400 kanak-kanak di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya
KUALA LUMPUR, 4 September 2025 – Di Malaysia, kejayaan anak-anak biasanya diukur melalui kecemerlangan akademik, tetapi pendidikan kewangan masih kurang diberi perhatian. Jurang ini memberi kesan besar pada masa depan apabila ramai anak muda bergelut mengurus kewangan dan berisiko tinggi dibebani hutang¹ yang membimbangkan. Menyedari cabaran mendesak ini, Prudence Foundation dan Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) telah melancarkan program ‘Cha-Ching On the Go’ khusus untuk pelajar sekolah rendah, dengan fasa pertamanya menyasarkan lebih 17,400 pelajar di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya. Majlis pelancaran ini turut diserikan dengan kehadiran YB Senator Puan Saraswathy Kandasami, Timbalan Menteri Perpaduan Negara.
Dikembangkan daripada program asal Cha-Ching yang dibangunkan oleh Prudence Foundation pada tahun 2011, ‘Cha-Ching On the Go’ bertujuan menjadikan pendidikan kewangan lebih menyeronokkan dan mudah diakses oleh kanak-kanak melalui aktiviti serta permainan interaktif yang mampu mencetuskan rasa ingin tahu. Fasa baharu ini turut membawa pengalaman pembelajaran keluar daripada bilik darjah bagi memastikan kanak-kanak dalam komuniti kurang diberi tumpuan turut berpeluang mempelajari kemahiran penting dalam pengurusan wang.
Dianjurkan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, ‘Cha-Ching On the Go’ menampilkan siri jelajah menggunakan trak Cha-Ching On the Go dan trak Jelajah Ilmu Bank Negara Malaysia (BNM) serta bas Mobile Lab yang akan melawat sekolah sasaran dan kawasan perumahan. Dalam tahun pertama pelaksanaannya, program bergerak ini akan berkunjung ke 30 buah sekolah rendah kerajaan dan 12 komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur and Putrajaya.
Dalam ucapannya di majlis pelancaran, YB Senator Puan Saraswathy berkata, “Apabila kerajaan, pihak korporat dan NGO berganding bahu, kita bukan sahaja mengukuhkan dasar-dasar negara, malah kita juga membawa perubahan ketara kepada komuniti. Inilah semangat Malaysia MADANI - satu kolaborasi pelbagai pihak berkepentingan untuk memupuk generasi yang celik kewangan, berdaya tahan dan inklusif.”
Menurut Eric Wong, Ketua Pegawai Pemasaran & Pengedaran Perkongsian, Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB), "Kami percaya setiap kanak-kanak berhak mendapat bimbingan celik kewangan, sama seperti kita mengajar mereka membaca, menulis dan mengira. Melalui 'Cha-Ching On the Go', kami berhasrat menjadikan pendidikan kewangan sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan interaktif sejak usia muda, serta membekalkan generasi baharu dengan kemahiran yang diperlukan untuk membina masa depan yang terjamin. Usaha ini sejajar dengan komitmen kami dalam menyediakan penyelesaian ringkas dan mudah diakses untuk setiap generasi, yang merupakan hala tuju utama Prudential Malaysia.”
Muhammad Zahran Bin Yaacob, Bendahari Pertubuhan Kebajikan Dana Kita melihat ‘Cha-Ching On the Go’ sebagai kesinambungan kepada misi mereka dalam memperkasa komuniti kurang bernasib baik. "Di Dana Kita, kami percaya pendidikan adalah kunci untuk memutuskan kitaran kemiskinan, dan literasi kewangan memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha ini. Ramai dalam kalangan kanak-kanak yang kami bantu tidak pernah didedahkan kepada konsep asas pengurusan wang. ‘Cha-Ching On the Go’ membolehkan kami bukan sahaja memberikan mereka kemahiran untuk mengurus kewangan, tetapi juga memberi keyakinan kepada mereka dalam menyimpan impian yang lebih besar dan membuat pilihan yang lebih baik demi masa depan mereka.”
"Literasi kewangan ialah ilmu kemahiran hidup yang sangat penting. Dengan memperkenalkan konsep asas pengurusan wang secara interaktif kepada kanak-kanak, kita mampu membina generasi masa depan yang celik kewangan dan lebih bertanggungjawab. Di Prudence Foundation, kami berbangga menyaksikan Cha-Ching On the Go membawa aktiviti Cha-Ching yang menyeronokan dan mendidik kepada kanak-kanak dalam komuniti yang mungkin kurang mendapat akses kepada pendidikan sebegini," kata Nicole Ngeow, Pengarah Eksekutif, Prudence Foundation.
Sepanjang tahun hadapan, PAMB berhasrat memperluas program ini ke seluruh negara, bagi memastikan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang berpeluang mempelajari kemahiran penting dalam pengurusan wang sejak usia muda.
Cha-Ching, yang dibangunkan dengan kerjasama Cartoon Network, mengajar kanak-kanak berusia 7 sehingga 12 tahun empat konsep utama kewangan: Menjana, Menyimpan, Berbelanja dan Menderma. Dengan menggunakan video animasi serta modul berasaskan pengalaman, ia menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan mudah difahami, disertakan juga bahan sokongan untuk guru dan ibu bapa. Kurikulum Cha-Ching dengan pelajaran berstruktur telah diperkenalkan di sekolah semenjak tahun 2014. Sehingga kini, program Kurikulum ini telah melatih seramai 3,851 guru dan memberi manfaat kepada 283,250 pelajar di seluruh negara. Di peringkat Asia dan Afrika, Kurikulum Cha-Ching telah dilaksanakan di 16 pasaran, melatih hampir 90,000 guru dan mendidik lebih 3.2 juta pelajar.
Untuk maklumat lanjut mengenai Cha-Ching dan Cha-Ching On the Go, sila layari https://www.prudential.com.my/en/our-company-community-investment-programmes/cha-ching/.
¹ Ministry of Finance. Press Citations.AKPK Reports 53,000 Under-30s Owe RM1.9 Bln – Amir Hamzah
