Program Creative Sprint Hasanah 2025 sedia dana RM1 juta bantu perusahaan sosial

20/08/2025 - 18:18
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 20 Ogos – Satu Creative Services Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan Hasanah, melancarkan ‘Creative Sprint Hasanah Social Enterprise Fund' (HSEF) 2025 yang menyediakan geran berjumlah RM1 juta bagi perusahaan sosial di Zon Tengah dan Utara.
Antara projek yang akan dibiayai ialah berkaitan menangani cabaran dalam alam sekitar, seni dan ruang awam, pendidikan serta pembangunan komuniti.
Ketua Pegawai Eksekutif Satu Creative, Ahmad Azuar Zainuddin berkata, fokus pada tahun ini adalah untuk memperkukuh penggerak perubahan (changemakers) berpotensi tinggi di kawasan sasaran serta membekalkan mereka dengan alat dan sokongan untuk memperluaskan impak projek tersebut.
“Perusahaan sosial membuktikan perniagaan boleh menjadi agen kebaikan, mewujudkan peluang, memperkukuh komuniti dan melindungi alam sekitar.
“Namun, realitinya tiada penggerak perubahan yang berjaya seorang diri. Mereka memerlukan ekosistem yang percaya kepada keupayaan mereka serta rakan kongsi yang akan bekerjasama dalam projek yang diusahakan.
“Melalui Creative Sprint HSEF 2025 bersama Yayasan Hasanah, kami membina sokongan supaya perusahaan sosial dapat berkembang lebih kukuh, meluaskan skala, dan membentuk Malaysia yang lebih inklusif, berdaya tahan dan lestari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain pembiayaan, program itu juga menyediakan akses kepada mentor, rangkaian pelabur dan pemimpin ekosistem.
Perusahaan terpilih akan mengikuti latihan intensif, jaringan lintas sektor dan inisiatif pembangunan kapasiti yang direka untuk menghasilkan impak komuniti yang boleh positif.
Sementara itu, Ketua Bahagian Perusahaan Sosial Yayasan Hasanah, Stanley Siva pula berkata, perusahaan sosial adalah agen perubahan yang berkuasa, mampu mentransformasi komuniti dan menangani cabaran sosial serta alam sekitar yang kritikal.
“Creative Sprint HSEF 2025 bertujuan mewujudkan gerakan yang membekalkan usahawan sosial dengan alat, rangkaian dan keyakinan untuk meluaskan impak mereka.
“Dengan ini, kami turut melabur untuk Malaysia yang lebih inklusif, berdaya tahan dan lestari,” katanya.
Permohonan HSEF kini dibuka sehingga 20 September dengan syarat kelayakan pemohon mesti berdaftar secara sah di Malaysia, telah beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan, mempunyai matlamat sosial atau alam sekitar yang jelas serta mengendalikan model perniagaan komersial.
Bootcamp wilayah Tengah akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 7 hingga 8 Oktober, diikuti Demo Day pada 9 Oktober.
Sementara itu, bootcamp bagi wilayah Utara akan diadakan di Pulau Pinang pada 14 hingga 15 Oktober, dengan Demo Day pada 16 Oktober. - DagangNews.com
standard


