
SHAH ALAM - Kerajaan menyediakan dana khas bernilai RM36.41 juta bagi membantu pelajar B40 melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memperkenalkan pelaksanaan Program Dermasiswa B40 TVET, khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang tersebut dengan pengambilan siri pertama melibatkan 1,000 orang pelajar dari seluruh negara.
"Saya yakin, program ini menawarkan lebih banyak peluang kepada anak-anak Keluarga Malaysia terutama daripada kumpulan B40 mendapat akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET," katanya ketika berucap merasmikan Minggu TVET Negara (MTN) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pada Isnin.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Razi Jidin; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Dalam pada itu Ismail Sabri mengumumkan 2 Jun setiap tahun sebagai Hari TVET Negara dan berharap sambutan ini menjadi titik tolak kepada usaha mencorak semula landskap TVET negara agar setanding dengan negara maju lain.
"Saya berharap pada tahun-tahun akan datang, sambutan Minggu TVET Negara dilakukan secara bergilir-gilir dalam kalangan 11 kementerian penyedia TVET yang lain malah tokoh-tokoh luar negara juga boleh diundang untuk berkongsi pengalaman mereka dalam memperkasakan TVET," katanya.
Tambah beliau, kerajaan telah melaksanakan pelbagai bentuk intervensi bagi menyediakan peluang pendidikan lebih luas untuk Keluarga Malaysia termasuk mengadakan Program Penajaan Pendidikan.
"Secara umumnya, terdapat beberapa strategi penajaan pendidikan yang telah dilaksanakan seperti pinjaman pendidikan, pinjaman boleh ubah, dermasiswa, biasiswa dan bantuan kewangan," katanya.
Ismail Sabri berkata, dalam konteks program hari ini, keprihatinan kerajaan terhadap TVET diserlahkan dengan pembiayaan yang tinggi, di mana 80 peratus penyedia TVET awam menawarkan program TVET secara percuma.
"Bagi tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 171,412 program TVET di peringkat Diploma dan Sarjana Muda telah ditawarkan," katanya.
Sementara itu Noraini berkata, keseluruhannya, di Malaysia ada 1,295 buah institusi dan penyedia TVET.
"Ini merangkumi 640 institusi TVET awam di bawah seliaan 11 Kementerian, 22 institusi TVET kerajaan negeri dan 633 penyedia TVET swasta," katanya.
Noraini berkata, agenda utama pemerkasaan TVET adalah membangunkan Pelan Penjenamaan TVET Negara.
"Pelan ini penting untuk menganjak paradigma dan meningkatkan persepsi positif masyarakat terhadap TVET," katanya.


