Program Desa Lestari distruktur semula, sasaran pendapatan isi rumah RM2,300 sebulan

LocalBusiness & Finance
23 Jul 2026 • 4:57 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Program Desa Lestari distruktur semula, sasaran pendapatan isi rumah RM2,300 sebulan

GEORGE TOWN, 23 JULAI: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan menstruktur semula pelaksanaan Program Desa Lestari sebagai pemangkin ekonomi masyarakat desa bagi meningkatkan keberkesanan program serta menaikkan pendapatan isi rumah peserta kepada RM2,300 sebulan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata program yang telah dilaksanakan sejak 10 tahun lepas itu bukan sekadar melalui penjenamaan semula, malah kandungan dan kaedah pelaksanaannya akan diubah bagi memastikan impak lebih berkesan kepada komuniti luar bandar.

Beliau berkata antara pembaharuan yang akan dilaksanakan ialah melibatkan golongan profesional daripada kalangan anak kampung yang mempunyai kelayakan untuk menguruskan Program Desa Lestari bagi pihak koperasi dan penduduk setempat.

“Kita mahu supaya mereka yang profesional mengendalikan Program Desa Lestari yang terdiri daripada anak daripada kampung itu yang mendapat pendidikan yang bersesuaian bagi pihak koperasi dan juga penduduk kampung berkenaan agar keberhasilan untuk program ini dapat dipertingkatkan terutamanya pendapatan isi rumah.

“Kita merancang supaya pendapatan isi rumah untuk peserta desa lestari itu meningkat kepada RM2,300 sebulan untuk seisi rumah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) ke-61, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol dan Ketua Pemuda BN Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata sasaran peningkatan pendapatan isi rumah itu bukan sahaja bertujuan mengurangkan bilangan penduduk di bawah garis kemiskinan, malah membantu menghapuskan kemiskinan tegar.

"Kadar kemiskinan luar bandar menurun daripada 12 peratus kepada 9.9 peratus dengan corak migrasi memperlihatkan pergerakan dari luar bandar ke luar bandar sebanyak 7.6 peratus manakala dari bandar ke luar bandar pula 7.2 peratus serta migrasi luar bandar ke bandar mengecil sehingga 0.6 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta kerajaan negeri melalui MEXCLUB untuk mempercepatkan kelulusan, penyelarasan tanah, pembangunan infrastruktur dan penglibatan agensi berkaitan supaya aset strategik luar bandar dapat segera diaktifkan serta menjana manfaat ekonomi yang lebih besar kepada rakyat.

Beliau berkata KKDW berhasrat memodenkan desa melalui kemudahan, teknologi dan peluang ekonomi yang lebih baik tanpa menghilangkan kekuatan budaya serta hubungan erat dalam komuniti.

Katanya usaha itu akan diperkukuh melalui penciptaan lebih banyak peluang keusahawanan dan pekerjaan di luar bandar termasuk menarik pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) menerusi kerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Ahmad Zahid berkata kerajaan juga akan memperkukuh liputan telekomunikasi di kawasan luar bandar yang masih mempunyai capaian Internet terhad walaupun pelaksanaan rangkaian 5G semakin meluas.

Selain itu, beliau berkata KKDW turut menyambut baik cadangan untuk memperluaskan penubuhan kumpulan paramedik komuniti di kawasan luar bandar berdasarkan kejayaan projek perintis yang dilaksanakan di Melaka.

"Inisiatif itu mampu membantu penduduk yang memerlukan rawatan awal, khususnya di kawasan yang berdepan kekangan mendapatkan perkhidmatan ambulans dengan segera, sebelum model berkenaan diperluaskan ke negeri lain melalui penyelarasan MEXCLUB,” katanya.

Program Desa Lestari yang diperkenalkan bermula 2013 di bawah program Transformasi Kerajaan (GTP 2.0) merupakan antara inisiatif KKDW bagi mentransformasi kawasan luar bandar dan meningkatkan taraf hidup masyarakatnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved