
PUTRAJAYA: Program Felo Perdana dan Program Felo Korporat kelolaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menjadi mercu tanda kerajaan dalam melatih kepimpinan anak muda, kata Menterinya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu(gambar).
Beliau berkata program itu bukan sahaja menjadi simbolik kepada KBS malah seluruh agensi kerajaan, yang membuka pintu seluasnya kepada golongan belia untuk memberi sumbangan tenaga dan buah fikiran demi negara.
“Kerajaan menerusi KBS sentiasa mengangkat martabat belia dan memberi suntikan semangat, agar golongan ini dapat terlibat secara aktif dalam membina ketamadunan bangsa dn pembangunan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Felo Perdana dan Felo Korporat 2022 di sini hari ini.
Seramai 82 Felo Perdana dan 28 Felo Korporat menyertai program tahun ini, untuk penempatan di pelbagai kementerian dan syarikat korporat yang mengambil bahagian, antaranya Bank Islam Malaysia Bhd dan CIMB Bank Bhd. Mereka ditempatkan bersama mentor masing-masing bermula hari ini sehingga 31 Dis 2022.
Peserta Felo Perdana akan bertugas secara penggiliran di sesebuah kementerian atau agensi, manakala peserta Felo Korporat akan didedahkan secara langsung kepada kepimpinan dan pengurusan syarikat, termasuk pengurusan operasi.
Ahmad Faizal berkata secara keseluruhannya, program tersebut telah berjaya memperlihatkan potensi dan ciri kepimpinan seperti yang dihasratkan kerajaan.
Sementara itu, Dhavina Sella Perumal, 25, yang ditempatkan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melahirkan rasa teruja kerana terpilih selepas melalui proses pemilihan yang sukar.
“Ia seperti mimpi jadi kenyataan dan pengorbanan saya berbaloi. Saya berharap akan dapat menimba sebanyak pengalaman yang boleh kerana saya minat aktiviti kemasyarakatan, sesuai dengan kementerian yang ditempatkan,” kata graduan Pentadbiran Awam dari Universiti LimKokWing.
Sementara itu, Chan Ze Ee, 22, yang ditempatkan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) berkata beliau mahu menimba pengalaman bukan sahaja untuk membantu melancarkan pengurusan kementerian, tetapi juga berbakti kepada masyarakat dan negara.
“Sebagai pemuda saya sebenarnya banyak idea untuk beri semula kepada masyarakat. Saya nak guna pengetahuan yang saya ada untuk bagi balik apa sahaja yang saya telah pelajari dan amalkan dalam K-KOMM.
“Dalam kedudukan ini, saya teruja untuk berkhidmat untuk komuniti dan menyediakan solusi kepada masalah yang timbul,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Biokesihatan dari Universiti Malaya.-Bernama



