Program ‘Glamping with Pride’ Dibatalkan, Penganjur Dakwa Terima Ugutan Bunuh

LocalPolitics
13 Jan 2026 • 5:23 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sekitar minggu lalu, kecoh mengenai penganjuran program ‘Glamping with Pride’ yang dijadual berlangsung di Hulu Langat, Sabtu (17 Januari) ini.

Keadaan ini membuatkan banyak pihak tidak bersetuju dan meminta agar penganjurannya dibatalkan kerana dikatikan dengan budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Antaranya termasuklah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menzahirkan bantahan keras terhadap penganjuran sebarang aktiviti songsang yang boleh mengundang kemurkaan serta laknat ke atas negeri itu.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha untuk memastikan program tersebut tidak lagi diteruskan.

Malah hari ini (13 Januari), Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari, memberi amaran agar ianya tidak diteruskan.

Penganjur Batal Program ‘Glamping with Pride’

Terbaharu, penganjur JEJAKA memaklumkan pembatalan program tersebut berikutan perkembangan keselamatan yang serius dan membimbangkan sejak beberapa hari lalu.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram, mereka mendakwa berdepan ancaman keselamatan, termasuk ugutan bunuh dan keganasan menerusi media sosial.

Tambahnya lagi, pembatalan tempahan juga telah dilakukan oleh pemilik lokasi di Hulu Langat atas faktor keselamatan.

“Pihak kami turut menerima ancaman keselamatan termasuklah ugutan bunuh dan keganasan melalui media sosial. Ancaman-ancaman ini telah didokumenkan dan akan dirujukkan kepada pihak berkuasa melalui laporan polis,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini (13 Januari).

Program Dibatal Bukan Kerana Menyalahi Undang-Undang

Sehubungan itu, JEJAKA menegaskan bahawa pembatalan program tersebut bukanlah kerana aktiviti yang menyalahi undang-undang, tetapi kerana keadaan yang meletakkan keselamatan mereka dalam bahaya.

“Sebleum isu ini disensasikan secara meluas, hanya 14 orang peserta sahaja yang berdaftar. Namun, dalam tempoh beberapa hari sahaja, sekitar 50 orang telah menyatakan minat untuk menyertai program pendidikan kesihatan ini,” katanya.

Jelasnya, pembatalan itu menyebabkan 50 individu yang berminat kehilangan ruang selamat untuk berkumpul dan belajar tentang kesihatan.

“Komuniti LGBT Bukan Ancaman Atau Orang Asing” – JEJAKA

Dalam masa sama, organisasi itu berasa kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, institusi dan tokoh awam yang dirasakan gagal untuk membantu menenangkan keadaan.

“Mereka gagal menjalankan tugas mereka untuk mempertahankan golongan minoriti daripada ancaman, malah lebih memburukkan lagi situasi ini. Ancaman keganasan terhadap mana-mana pihak bukanlah penyelesaian bagi apa-apa perbezaan pandangan,” katanya.

Tambahnya, komuniti LGBT yang wujud di seluruh negara bukanlah ancaman atau orang asing, tetapi merupakan rakyat Malaysia juga.

“Hak kami untuk hidup dengan selamat, bermaruah dan tanpa ketakutan juga dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan kewajipan untuk melindungi hak ini terletak pada semua pihak,” ujarnya.

Penganjur Tegaskan Program ‘Glamping with Pride’ Bersifat Pendidikan & Kesihatan

JEJAKA turut menegaskan bahawa program Glamping with Pride yang kini telah dibatalkan itu merupakan aktiviti komuniti tertutup yang bersifat pendidikan dan kesihatan, serta dijalankan sebagai usaha bagi mengurangkan stigma terhadap isu kesihatan awam seperti HIV.

“Aktiviti perkhemahan dan rekreasi berlaku di negara ini setiap hari. Komuniti LGBT juga berhak diberi ruang yang sama tanpa diancam dengan apa-apa bentuk ugutan bersifat keganasan.

“Walaupun program ini dibatalkan atas faktor keselamatan, kami berdiri teguh di atas prinsip keadilan dan kesaksamaan.

“Keputusan ini dibuat atas melindungi nyawa dan bukan kerana mengalah. Usaha kami dalam menerapkan pendidikan kesihatan, menguatkan sokongan komuniti dan mempertahankan maruah serta hak asasi akan diteruskan dalam ruang selamat dan bertanggungjawab,” ujarnya.

View this post on Instagram

A post shared by JEJAKA (@jejakaorg)