
Program Jelajah Karnival KPDN 2024 Berjaya Capai Sasaran KPDN, Jana Lebih RM6 Juta Jualan
Program Jelajah Karnival KPDN Tahun 2024 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melabuhkan tirainya menerusi penganjuran terakhir di Zon Selatan yang bertempat di Dataran Sejarah Ayer Keroh, Melaka pada 6 hingga 8 Disember 2024.
Sebelum ini, penganjuran program Jelajah Karnival KPDN telah dilaksanakan di beberapa zon seperti Zon Utara (Perlis), Zon Tengah (Perak), Zon Timur (Kelantan), Sabah dan Sarawak. Pelaksanaan Karnival KPDN dibuat selaras dengan pemilihan beberapa negeri tersebut sebagai antara destinasi Tahun Melawat Negeri pada tahun 2024. Program ini juga sejajar dengan hasrat kementerian untuk menyemarakkan lagi aktiviti sektor pelancongan dan perdagangan domestik dalam kalangan masyarakat setempat.
Bertemakan “Kita Pengguna, Daya Negara,” penganjuran Karnival KPDN 2024 ini selari dengan matlamat Kementerian dalam menggerakkan agenda besar kepenggunaan yang responsif melalui pendekatan bersemuka secara terus kepada rakyat. Objektif penganjuran karnival ini juga adalah untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan Kementerian dan Agensi kepada rakyat dalam meningkatkan kefahaman terhadap kefungsian KPDN seterusnya membina kepercayaan serta keyakinan antara Kerajaan dengan rakyat.

Di samping itu, Jelajah Karnival KPDN 2024 merupakan inisiatif kementerian yang pertama kali dilaksanakan pada tahun ini dengan menggabungkan pelbagai aktiviti dan perkhidmatan kementerian dalam satu karnival anjuran KPDN.
Antara pengisian program dalam Jelajah Karnival KPDN meliputi pameran daripada pelbagai bahagian dan agensi di KPDN serta Kementerian dan agensi pembimbing usahawan, jualan dan pameran daripada usahawan tempatan bagi segmen Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM), Jualan RAHMAH MADANI, segmen Menu RAHMAH dan foodtruck.
Secara keseluruhannya penganjuran Jelajah Karnival KPDN telah mencapai sasaran dan matlamatnya. Jumlah keseluruhan nilai jualan yang dicatatkan melebihi angka RM6juta merangkumi jualan usahawan KBBM, Jualan Rahmah MADANI, Menu Rahmah dan Food Trucks. Manakala jumlah pengunjung pula mencatatkan hampir 300,000 orang yang hadir di kesemua zon.

Menariknya Jelajah Karnival KPDN di Zon Selatan telah mencatatkan sejarah tersendiri apabila Program Jualan Rahmah MADANI selama 40 jam tanpa henti mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record “Longest Non-stop Government Community Sale.”
Kejayaan penganjuran Jelajah Karnival KPDN telah mendapat kerjasama strategik daripada pelbagai jabatan dan agensi, syarikat berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta para pemegang taruh khususnya menerusi sambutan orang ramai ke tapak karnival anjuran kementerian ini.
Justeru, inisiatif ini diharap mampu mengukuhkan perbelanjaan domestik dengan menggalakkan para pengguna di negara ini membeli dan menggunakan produk, barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia seterusnya menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara agar lebih berdaya saing. KPDN menjangkakan keyakinan orang ramai akan lebih memberangsangkan menerusi penganjuran Karnival KPDN pada masa hadapan.
The post Program Jelajah Karnival KPDN 2024 Berjaya Capai Sasaran KPDN, Jana Lebih RM6 Juta Jualan appeared first on Siakap Keli.




