Program Jota-Joti platform lahir generasi muda berfikiran global

LocalTechnology
21 Oct 2025 • 4:44 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Program Jamboree on the Air (Jota) dan Jamboree on the Internet (Joti) merupakan platform penting dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing serta berfikiran global.

Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee berkata program tersebut membuka peluang kepada pengakap dari seluruh dunia untuk berkomunikasi melalui gelombang radio dan internet sekali gus memupuk semangat persahabatan, kerjasama serta saling menghormati tanpa mengira bangsa, agama serta sempadan.

“Dalam era digital ini penguasaan teknologi komunikasi amat penting.

“Melalui Jota dan Joti para peserta bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran teknikal malah mempelajari kepentingan penggunaan teknologi secara beretika dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jota-Joti ke-68 Tahun 2025 di Stesen Utama Pengakap Negeri Sabah Gilwell Scouts Nature Park pada Ahad.

Program anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dihadiri 648 pengakap dan pegawai dari enam daerah termasuk Sandakan, Beluran dan Tongod.

Vivian berkata kerajaan terus menyokong penganjuran program berimpak tinggi seperti ini yang dapat membangunkan potensi belia dari aspek intelektual, sosial dan kerohanian.

Beliau turut menyentuh isu buli siber dan menggesa golongan muda agar menggunakan internet secara bijak.

Sementara itu Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah Jamaludin Jinal berkata sepanjang program berlangsung peserta berjaya berhubung dengan pengakap dari luar negara melalui internet dan radio.

Program Jota-Joti diadakan setiap tahun pada minggu ketiga bulan Oktober sejak tahun 1957 manakala pergerakan pengakap di Sabah bermula di Sandakan pada tahun 1913.