Program Jualan Rahmah Madani dilaksana setiap minggu

LocalPolitics
5 May 2026 • 3:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Program Jualan Rahmah Madani dilaksana setiap minggu
Anwar. Foto fail Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penganjuran Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) ditingkatkan kepada setiap minggu di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.

Beliau berkata, langkah itu bagi membantu mengurangkan tekanan krisis bekalan global yang sedang dihadapi rakyat ketika ini.

Menurutnya, pelaksanaan program berkenaan tidak seharusnya tertumpu di kawasan pinggir bandar sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan ke kampung terpilih.

"Dengan cara ini, pembeli dapat kepastian barangan di mana boleh dibeli dan pada hari serta jadual yang tetap," katanya pada Sidang Akhbar Krisis Bekalan Global di sini pada Selasa.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, penglibatan peniaga kecil dalam program itu perlu diperkasakan bagi memastikan mereka turut menerima manfaat.

"Kita tidak mahu ini jadi satu gelanggang untuk syarikat-syarikat besar tetapi untuk memastikan faedah daripada PJRM ini memberi kesempatan kepada peniaga-peniaga kecil menjual barangan mereka dengan kadar lebih murah," katanya.

Beliau memaklumkan, kerajaan telah melaksanakan lebih 25,000 PJRM di seluruh negara pada tahun lalu dengan penawaran potongan harga barangan sehingga 30 peratus.

"Tentunya ikhtiar ini tidak menyelesaikan semua masalah, tetapi saya percaya ia dapat meringankan sedikit tekanan sekarang ini.

"Insya-ALLAH dalam acara mingguan kita dan mesyuarat Jemaah Menteri esoknya, kita akan terus meneliti serta mencari beberapa ikhtiar baharu untuk mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat," ujar beliau.