Program Kerjaya Selangor mudahkan pemadanan kerja, perluas akses kerjaya

LocalBusiness & Finance
22 Jun 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Program Kerjaya Selangor mudahkan pemadanan kerja, perluas akses kerjaya

SHAH ALAM, 22 JUN: Program Kerjaya Selangor yang membabitkan peruntukan RM1.5 juta memudahkan pemadanan pekerjaan selain memperluas akses peluang kerjaya kepada individu yang kehilangan sumber pendapatan.

Berdasarkan data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata seramai 12,355 kes kehilangan kerja dilaporkan sejak awal tahun hingga 12 Jun, namun 11,347 sudah mendapat pekerjaan.

Menurutnya, dalam tempoh sama terdapat sebanyak 160,566 kekosongan jawatan selain 29,136 pencari kerja aktif sedang mencari peluang kerja baharu.

“Data ini menunjukkan cabaran perlu ditangani bukan semata-mata kekurangan peluang pekerjaan, tetapi bagaimana memastikan pencari kerja dapat dipadankan semula dengan peluang yang tersedia dengan lebih cepat dan berkesan.

“Program Kerjaya Selangor juga akan memperkukuh latihan peningkatan kemahiran serta membantu rakyat memperoleh pekerjaan lebih berkualiti dan berpendapatan lebih baik.

“Matlamat negeri jelas iaitu memastikan rakyat yang kehilangan pekerjaan tidak dibiarkan berdepan cabaran bersendirian sebaliknya dibantu untuk kembali bekerja dan menjana pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pembentangan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Pada Jumaat, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM1.5 juta bagi Program Kerjaya Selangor yang memberi keutamaan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan tahun ini.

Program yang dilaksanakan dengan kerjasama PERKESO serta syarikat dalam sektor peruncitan, pembuatan dan logistik itu menyasarkan penglibatan 30,000 pencari kerja di seluruh Selangor sepanjang tahun ini.

Terdahulu, pada 11 Jun, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan kadar pengangguran negara meningkat semula kepada tiga peratus pada April 2026 dengan jumlah penganggur mencecah 511,800 orang.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata tenaga buruh negara meningkat 0.1 peratus kepada 17.33 juta orang pada April berbanding 17.31 juta pada Mac, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus.

Pada masa sama, jumlah penduduk bekerja turut meningkat 0.1 peratus kepada 16.82 juta orang berbanding 16.80 juta pada bulan sebelumnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved