Program Kesukarelawan Pendidikan rai anak yatim, didik mahasiswa anjur program komuniti

30 Jun 2022 • 12:13 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

SLIM RIVER – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memanfaatkan sepenuh kelonggaran kerajaan dalam penganjuran aktiviti sosial dengan mengadakan program bersama-sama anak yatim bertempat di Pusat Jagaan Anak Yatim dan Asnaf Zakat Baitul Mahabbah, Slim River, Perak, baru-baru ini.

Pengarah Program, Anis Salwani Mohd Asri berkata, program kesukarelawan itu telah lama dirancang tetapi disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya terpaksa menangguhkannya untuk satu tempoh masa yang sesuai.

“Kesukarelawan pendidikan ini merupakan satu usaha kami bagi meningkatkan kepentingan ilmu dan pengetahuan dalam kalangan anak-anak yatim.

image is not available

“Sepanjang program berlangsung, kami amat seronok kerana mereka dapat menghayati dan mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dirancang.

“Kami juga amat berpuas hati dan tenang kerana dapat mengadakan aktiviti bersama-sama anak-anak syurga ini,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

image is not available

Program yang berlangsung selama lapan jam itu disertai oleh 39 orang anak yatim dan turut mendapat sokongan daripada Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) UPSI, Profesor Madya Ts Dr Che Ghani Che Kob.

Pelbagai aktiviti dianjurkan termasuklah sesi ice breaking, aktiviti uji minda serta aktiviti keyakinan diri yang bertujuan menguji minda serta meningkatkan keyakinan dalam diri anak-anak yatim itu untuk tidak malu berdepan orang ramai.