Program kurator muda IPM UPSI tarik minat pelajar sempena cuti sekolah

Art
5 Jan 2026 • 4:00 PM MYT
Bazli Razak
Bazli Razak

Media Officer, Corporate Comm Division, Sultan Idris Edu University (UPSI).

Image from: Program kurator muda IPM UPSI tarik minat pelajar sempena cuti sekolah
: Peserta Program Kurator Muda, IPM@UPSI bergambar bersama jawatankuasa program. Photo credit: Mohd Halimi Miswan

TANJONG MALIM — Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan Program Kurator Muda sempena cuti sekolah yang berlangsung di Muzium Pendidikan Nasional baru-baru ini, sekali gus menarik penyertaan menggalakkan pelajar berusia 12 hingga 15 tahun.

Pengarah IPM UPSI, Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said berkata, program berkenaan dirangka sebagai inisiatif pendidikan berimpak tinggi bagi memberi pendedahan awal kepada generasi muda mengenai asas permuziuman, kuratorial dan pemeliharaan warisan.

Menurut beliau, program itu turut berperanan meningkatkan kefahaman peserta terhadap fungsi muzium sebagai institusi pendidikan tidak formal yang memainkan peranan penting dalam pemeliharaan sejarah dan warisan negara.

“Antara objektif utama program ini ialah meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan muda terhadap kepentingan muzium dan pendidikan, memberi pendedahan berkaitan peranan serta tanggungjawab kurator, memupuk minat terhadap warisan budaya dan konservasi artifak serta menggalakkan pembelajaran aktif melalui pendekatan interaktif dan kolaboratif,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Permuziuman dan Galeri) UPSI, Dr. Fareez Vincent Amos@Mohd Fadly berkata Program Kurator Muda memberi penekanan kepada perkongsian ilmu berkaitan peranan muzium dalam konteks kepentingan sejarah dan pendidikan negara.

Menurutnya, sepanjang program ini para peserta dibawa melawat Muzium Pendidikan Nasional bagi memahami sejarah perkembangan pendidikan di Malaysia, selain menyertai aktiviti Jejak Warisan yang berfungsi sebagai medium pembelajaran berasaskan penyelesaian masalah dan idea.

“Penganjuran program ini selari dengan aspirasi UPSI untuk melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, berbudaya serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap pendidikan, sejarah dan khazanah warisan negara,” katanya.

Program itu turut diserikan dengan aktiviti kreatif ikat dan celup (tie and dye) serta pembelajaran cetakan baju yang menekankan elemen kreativiti, ekspresi seni dan kerja berpasukan, dengan hasil cetakan diberikan kepada peserta sebagai saguhati.

Bertemakan Kurator Muda, peserta turut diperkenalkan kepada aspek konservasi artifak melibatkan kaedah pemeliharaan dan pemuliharaan bahan warisan termasuk proses eskavasi, pendaftaran serta kerja-kerja baik pulih artifak.

Majlis penutup program disempurnakan dengan penyampaian hadiah dan sijil penyertaan oleh Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said bersama Timbalan Pengarah (Pascasiswazah dan Penyelidikan), Dr. Md Zahril Nizam Md Yusuf.


Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.