Program MM2H baharu berpotensi dorong pertumbuhan permintaan hartanah di Iskandar Malaysia – RHB Investment
diyana
18/12/2023 - 12:04
KUALA LUMPUR 18 Dis - RHB Investment mengekalkan perafan ‘overweight’ terhadap sektor hartanah dan yakin terhadap program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) baharu kerana syarat kelayakan umur dan pendapatan kini menjadi lebih munasabah, selain turut menawarkan pilihan lebih banyak kepada bakal pemohon warga asing menerusi tiga kategori permohonan.
Firma penyelidikan itu berkata Iskandar Malaysia dijangka menjadi kawasan semenanjung yang paling mendapat manfaat kerana kawasan ini sekarang menyaksikan kemasukan pelaburan dan pemangkin yang kukuh susulan projek-projek pembangunan prasarana.
Firma tersebut menambah bahawa Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Mont Kiara di kawasan Lembah Klang dan Pulau Pinang juga akan menerima kelebihan kerana menjadi kawasan tumpuan ramai dalam kalangan warga asing.
Menurut RHB Investment, syarat kelayakan umur di bawah program MM2H baharu diturunkan kepada 30 berbanding 35 dan ke atas sebelum ini, di samping diperluas kepada tanggungan berusia antara 21 dan 34 bagi mereka yang tidak lagi bekerja atau berkahwin di Malaysia, serta ibu bapa ataupun ibu bapa mentua.
“Semakan semula program MM2H dijalankan pada masa yang tepat, lebih-lebih lagi apabila Iskandar Malaysia kini mencatat kenaikan permintaan, didorong oleh kemasukan pelaburan dan juga pembinaan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang akan selesai tidak lama lagi, iaitu menjelang akhir 2026,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu berpendapat bahawa pelaksanaan dasar yang lebih mesra akan turut membantu menarik pekerja berkemahiran supaya berpindah ke kawasan ini, yang merupakan matlamat kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi Johor.
RHB Investment berkata hal ini seterusnya mampu memacu permintaan hartanah khususnya di kawasan berhampiran stesen terminal RTS, dan stesen MRT Tuas, justeru penerima manfaat utama ialah UEM Sunrise Bhd, Sunway Berhad dan Eastern & Oriental Berhad.
“Kami terus mengekalkan saranan ‘overweight’ pada sektor ini kerana dasar-dasar kerajaan, aliran pelaburan, pembangunan prasarana dan potensi pengurangan kadar Rizab Simpanan AS tahun hadapan, dapat memberikan rangsangan pada permintaan hartanah,” tambahnya.
Kaunter pilihan utama RHB Investment dengan saranan ‘beli’ adalah UEM Sunrise (harga sasaran [TP]: RM1.18), Sunway (TP: RM2.65) dan IOI Properties Group Berhad (TP: RM2.10). - DagangNews.com




