Program Next Level CEO sasar lonjak pertumbuhan PMKS bernilai tinggi

LocalBusiness & Finance
7 Aug 2026 • 5:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Program Next Level CEO sasar lonjak pertumbuhan PMKS bernilai tinggi

PUTRAJAYA: SME Corp. Malaysia memperuntukkan RM1.5 juta menerusi Program Next Level CEO bagi memperkukuh keupayaan kepimpinan pengurusan kanan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk membawa syarikat masing-masing ke tahap lebih tinggi.

Program itu menyasarkan penyertaan 90 ketua pegawai eksekutif (CEO), pengarah urusan dan pengasas syarikat PMKS yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi serta bernilai tinggi.

Ia merupakan antara komponen di bawah Program Peningkatan Industri Strategik dan Industri PKS Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) 2.0 yang memberi tumpuan kepada agenda penskalaan PMKS.

SME Corp. Malaysia dalam kenyataan berkata, program berkenaan dibangunkan bagi melengkapkan pemimpin PMKS dengan pengetahuan strategik, kemahiran kepimpinan, pemikiran inovatif serta perspektif global.

Katanya, usaha itu diharap dapat membantu peserta memacu transformasi organisasi, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing syarikat masing-masing.

Program tersebut turut menawarkan pembelajaran peringkat eksekutif menerusi gabungan sesi latihan, bimbingan khusus, pementoran dan pendedahan kepada amalan terbaik industri.

Bagi tujuan pelaksanaan, SME Corp. Malaysia melantik tiga rakan pelaksana iaitu Heriot-Watt University Malaysia Sdn. Bhd., ASB Management Sdn. Bhd. dan Efficient Frontier Consulting Sdn. Bhd.

Ketiga-tiga rakan pelaksana itu bertanggungjawab membangunkan modul kursus, mengendalikan latihan dan sesi bimbingan, melaksanakan Penarafan Daya Saing PKS untuk Peningkatan (SCORE) serta memantau impak program.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy berkata, negara memerlukan lebih ramai PMKS yang bukan sahaja berdaya tahan, malah berupaya berkembang menjadi syarikat bernilai tinggi dan bersaing di peringkat global.

“Program Next Level CEO merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan kepimpinan kerana transformasi organisasi bermula daripada pemimpin yang mempunyai visi, keberanian melakukan perubahan serta keupayaan meneroka peluang baharu.

“Melalui program ini, kami berharap dapat melahirkan lebih ramai pemimpin industri yang mampu memacu pertumbuhan syarikat, meningkatkan produktiviti serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Program Next Level CEO kendalian Heriot-Watt University Malaysia di kampus universiti berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Provost dan Ketua Pegawai Eksekutif Heriot-Watt University Malaysia, Prof. Dr. Mushtak Al-Atabi.

Sementara itu, Program Next Level CEO kendalian dua lagi rakan pelaksana, ASB Management Sdn. Bhd. dan Efficient Frontier Consulting Sdn. Bhd. masing-masing dijadual dilancarkan pada pertengahan Ogos dan September ini.

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai program ini boleh dikemukakan kepada urus setia melalui e-mel nextlevelceo@smecorp.gov.my atau melayari laman sesawang di pautan www.smecorp.gov.my dan saluran media sosial rasmi SME Corp. Malaysia. – UTUSAN

The post Program Next Level CEO sasar lonjak pertumbuhan PMKS bernilai tinggi appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved