Program PLATS-SIRIM bantu usahawan tambah baik pembungkusan produk

LocalBusiness & Finance
6 Oct 2026 • 8:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Program PLATS-SIRIM bantu usahawan tambah baik pembungkusan produk

SHAH ALAM, 6 OKT: Program Pemerkasaan Usahawan dan Transformasi Pembungkusan Inovatif Platform Selangor (PLATS) dengan kerjasama SIRIM Academy Sdn Bhd memberi peluang kepada usahawan menambah baik reka bentuk dan kualiti pembungkusan produk masing-masing.

Pemilik Ayubie Lobster Farm, Nor Wani Idayu Ab Wahid berkata kepakaran SIRIM Academy dalam menghasilkan pembungkusan mengikut kesesuaian produk turut membantu usahawan memperkemas persembahan produk mereka.

Image from: Program PLATS-SIRIM bantu usahawan tambah baik pembungkusan produk
Pengusaha Produk Ayubie, Nor Wani Idayu Ab Wahid

“Aspek reka bentuk serta bahan pembungkusan ditentukan mengikut kesesuaian termasuk penggunaan bahan gred makanan untuk produk berkaitan makanan bagi memastikan keselamatan pengguna.

“Pembungkusan baharu menjadikan produk lebih menarik sekali gus meningkatkan daya tarikan serta perhatian pelanggan terhadap produk yang ditawarkan,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, Pengasas Big Smash Burger, Muhammad Amiruddin Abdul Kadir berkata penambahbaikan pembungkusan memberi nilai tambah kepada produk serta membantu usahawan membuat persediaan untuk menembusi pasaran lebih luas.

Image from: Program PLATS-SIRIM bantu usahawan tambah baik pembungkusan produk
Pengusaha Big Smash Burger, Mohammad Amiruddin Abdul Kadir

Beliau berkata pembungkusan yang baik perlu disesuaikan dengan identiti dan karakter sesuatu produk supaya lebih mudah dibezakan daripada produk lain selain memberi gambaran yang lebih jelas mengenai keunikan serta nilai produk kepada pelanggan.

“Pembungkusan sangat penting untuk sesuatu produk kerana ia perlu mempunyai keunikan tersendiri. Kebanyakan pelanggan juga memberi maklum balas bahawa pembungkusan baharu lebih kemas dan bersesuaian dengan harga jualan,” katanya.

Perkara sama turut diakui usahawan sayur-sayuran Rajarani, B. Kala Rani yang menyifatkan penambahbaikan pembungkusan memberi kesan positif terhadap perkembangan perniagaannya.

Menurut Kala Rani, beliau bersyukur kerana terpilih menyertai bengkel bersama SIRIM Academy yang memberi peluang untuk mempelajari kaedah menghasilkan pembungkusan lebih sesuai dengan produknya.

“Saya sangat bersyukur kerana terpilih menyertai bengkel bersama SIRIM Academy. Pembungkusan baharu ini memberi manfaat kepada perniagaan dan membantu produk lebih dikenali dalam kalangan pelanggan serta pembekal.

“Saya juga berharap lebih ramai usahawan menyertai PLATS dan memanfaatkan pelbagai peluang serta sokongan yang disediakan khususnya untuk meningkatkan kualiti produk dan mengukuhkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Image from: Program PLATS-SIRIM bantu usahawan tambah baik pembungkusan produk
Pengusaha Rajarani, B. Kala Rani

Program julung kali anjuran PLATS dengan kerjasama SIRIM Academy itu turut mendapat pembiayaan penuh Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dengan peruntukan kira-kira RM300,000.

Usahawan terlibat menjalani tiga peringkat bengkel dari Februari hingga April lalu, meliputi pembangunan reka bentuk pembungkusan berdasarkan identiti, jenis produk dan keperluan pasaran.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved