
BANGI: Program Rakan Muda yang diberi nafas baharu merupakan persiapan bagi melahirkan generasi dengan cita-cita murni dan nilai kemanusiaan tinggi bagi menjadikan Malaysia sebuah negara hebat di rantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada majlis pelancaran Rakan Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, beliau berkata program itu juga dapat mempersiap generasi dengan nilai-nilai persaudaraan yang menolak elemen rasuah dan hipokrasi.
“Ia persiapan satu generasi punyai nilai insan yang hormat satu sama lain, senang dengan kebaikan, persaudaraan, teknologi baharu, benci dengan rasuah dan hipokrasi serta benci dengan orang menghina kaum lain,” katanya disambut sorakan dan tepukan gemuruh lebih 1,000 belia yang hadir.
Perdana Menteri, yang membahasakan dirinya sebagai ‘Pakcik Anwar’ pada majlis itu, turut menggesa agar tiada pemikiran lapuk dan jumud dalam kalangan belia serta tiada unsur yang boleh memecah-belahkan perpaduan negara.
“ ...yang akan tentukan (masa depan negara) bukan orang-orang tua lapuk pemikiran yang nak pecah belahkan rakyat, yang akan tentukan masa depan untuk menyelamatkan bangsa dan negara ialah anak muda sendiri,” katanya.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Timbalannya Adam Adli Abd Halim.
Lagi akan datang - Bernama

