KUALA LUMPUR - Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 (Program Rancakkan MADANI) diyakini mampu membantu rakyat memahami dengan lebih jelas visi dan misi Kerajaan MADANI.
Kini memasuki fasa akhir persiapan, program berskala nasional ini bakal dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bertempat di pekarangan Dataran Putrajaya, program yang bermula esok hingga 7 Disember itu adalah wadah Pejabat Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan turut menerima kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
Ketua Unit Komunikasi Korporat PACU, Sapian Mamat berkata, pelbagai inisiatif kerajaan akan dipaparkan termasuk pencapaian, kemajuan dasar serta keberhasilan inisiatif 2025 secara telus dan terus kepada rakyat.
Menurutnya, pengunjung juga boleh melihat sendiri kejayaan dilaksanakan oleh kerajaan dan agensi berkaitan, yang memberi manfaat besar kepada seluruh rakyat.
“Keberhasilan Kerajaan MADANI mentadbir sepanjang tiga tahun akan dipersembahkan kepada orang ramai, seterusnya menjadi penilaian sebaiknya.
“Pada masa sama, program ini berfungsi sebagai platform mempromosikan dan menyebar luas Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), setelah pembaharuan digerakkan oleh Kerajaan MADANI bagi memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Jelas beliau, buat julung kali, program tiga hari ini menghimpunkan pelbagai inisiatif dan program utama kerajaan melalui lapan segmen utama di bawah satu bumbung.
“Pengisian ini termasuk pameran Produk Rakyat MADANI, Kesejahteraan Rakyat MADANI, Kepengerusian ASEAN dan hubungan antarabangsa, Ukhuwah Rakyat MADANI, Belia MADANI, Karnival Mini Pelancongan dan ARPA.
“Keseluruhan segmen juga dirangka sebaiknya menonjolkan ekosistem dasar kerajaan secara lebih holistik, mudah diakses dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung, termasuk pameran aset pertahanan negara, perkhidmatan kesihatan, pembudayaan komponen TVET dan STEM AI, karnival kerjaya, penukaran topi keledar percuma, pesta buku, Meow Fiesta, Jualan Rahmah dan Jualan Kembali Ke Sekolah.
“Selain itu, jualan agro dan barangan sukan, Temasya Kopi, NADI E-Sukan MADANI, agihan biji benih dan pokok, perkhidmatan tukar minyak enjin motosikal percuma, gunting rambut percuma serta jualan trak makanan dengan pelbagai pilihan menu.
“Paling menarik, sebanyak 60 hadiah cabutan bertuah menanti pengunjung dengan menawarkan hadiah utama berupa sebuah motosikal Modenas 150cc dan pelbagai barangan elektrik lain,” katanya.
Program Rancakkan MADANI akan berlangsung mulai jam 9 pagi hingga 10 malam pada hari Jumaat dan Sabtu, manakala pada hari Ahad, dari 9 pagi hingga 6 petang. - Getaran, 4 Disember 2025


