Program Sekolah Angkat MADANI Agensi Nuklear Malaysia Perkukuh Pembelajaran STEM Dan Sokong Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030

LocalTechnology
13 Nov 2025 • 5:17 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Program Sekolah Angkat MADANI Agensi Nuklear Malaysia Perkukuh Pembelajaran STEM Dan Sokong Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030

Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) melaksanakan inisiatif Sekolah Angkat MADANI di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kruit (SMK Sungai Kruit), Sungkai, Perak dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia sebagai usaha memperkukuh pembangunan sosial dan ekonomi di peringkat sekolah luar bandar.

Program berteraskan nilai Malaysia MADANI ini bertujuan memperkasa komuniti pendidikan melalui inisiatif mampan, memupuk kerjasama antara agensi kerajaan dan institusi pendidikan serta menjadi pemangkin peningkatan kualiti hidup dan pembelajaran.

image is not available

Pemilihan SMK Sungai Kruit, Sungkai, Perak sebagai Sekolah Angkat MADANI Nuklear Malaysia adalah berdasarkan komitmen tinggi pihak sekolah terhadap pendidikan STEM serta penglibatan aktif pelajar dan guru dalam pelbagai aktiviti sains dan inovasi.

Terletak di kawasan luar bandar, sekolah ini mencerminkan usaha berterusan Nuklear Malaysia memperluas akses pendidikan STEM dan diharap menjadi pusat rujukan komuniti bagi pembelajaran sains serta inovasi sosial untuk melahirkan masyarakat celik sains dan berdaya cipta. 

image is not available

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohamed Zin berkata, “sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan bagi menaik taraf lantai serta memasang sistem pembesar suara di dewan sekolah. Inisiatif ini bukan sekadar penambahbaikan fizikal malah bertujuan memperkukuh ekosistem pembelajaran yang kondusif untuk pelajar dan warga sekolah.

Ia juga mencerminkan komitmen Nuklear Malaysia dalam menyokong Dasar Pendidikan Negara serta Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menekankan penerapan ilmu sains dan teknologi nuklear secara bertanggungjawab, beretika dan berimpak tinggi kepada masyarakat”. 

image is not available

“Pelaksanaan program ini juga selaras dengan aspirasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk merakyatkan sains, menginsankan teknologi dan mengarusperdanakan inovasi di samping mendukung agenda Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pembangunan insan melalui pendidikan yang inklusif dan berasaskan sains,” tambah beliau. 

Pada majlis sama, Nuklear Malaysia turut melancarkan Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menghimpunkan lebih 500 pelajar dari daerah Sungkai, Muallim, Batang Padang dan Kinta Selatan.

image is not available

Karnival ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai bidang STEM selaras dengan usaha melahirkan generasi celik sains, berfikiran kritikal dan berinovasi tinggi yang mampu menyokong pembangunan negara berasaskan sains dan teknologi.

Antara pengisian menarik adalah pameran robotik dan pertandingan STEM Explorace yang disertai oleh pelajar dari sekolah-sekolah yang terlibat. 

image is not available

Sejak tahun 1972, Nuklear Malaysia telah melaksanakan pelbagai program jangkau luar (Outreach) bagi memperkukuh kesedaran awam tentang sains dan teknologi nuklear melalui tiga inisiatif utama iaitu Program NEO@Schools, Nuclear Nexus@Community dan Explore@Nuclear.

Melalui pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI dan Karnival STEM ini, Nuklear Malaysia berhasrat memperkukuh pengetahuan STEM dan nuklear di peringkat akar umbi, seiring dengan usaha kerajaan memperkasakan pembangunan pendidikan dan kesejahteraan masyarakat di bawah gagasan Malaysia MADANI.

The post Program Sekolah Angkat MADANI Agensi Nuklear Malaysia Perkukuh Pembelajaran STEM Dan Sokong Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 appeared first on Siakap Keli.