SHAH ALAM, 21 FEB: Program Selangor 1000 Digital akan diteruskan tahun ini untuk memberdaya transformasi digital dalam kalangan usahawan di negeri ini, maklum EXCO keusahawanan.
Mohd Najwan Halimi berkata program berkenaan bakal menjelajah ke sembilan daerah bagi memperkasa usahawan menerusi pelbagai program termasuk pendedahan kepada teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pemasaran dalam talian.

“Kita berikan latihan kepada usahawan untuk mereka belajar bagaimana guna pakai aplikasi dan teknologi dalam perniagaan.
“Selain itu, Platform Selangor (Plats) turut memberikan latihan kepada usahawan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri termasuk simulasi latihan dengan ada usahawan yang dapat jana sekitar RM100,000 daripada simulasi itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.
Dalam pada itu, Najwan memberitahu bazar Ramadan di bawah pihak berkuasa tempatan tahun ini akan terus memperluas pilihan pembayaran tanpa tunai bagi menggalakkan inisiatif pembayaran digital.
“Insya-Allah bazar Ramadan bawah pihak berkuasa tempatan di seluruh Selangor, usahawan yang terlibat akan menyediakan pilihan pembayaran secara tanpa tunai. Kita sedang terapkan usaha ini,” katanya.
Menurutnya lagi, Selangor menyasarkan kira-kira 50,000 usahawan menyertai Plats dalam tempoh dua tahun, dengan kira-kira 40,000 usahawan terlibat dengan program itu setakat ini.

Pada Mei tahun lalu, Kerajaan Negeri memperkenalkan program Selangor 1000 Digital bagi memperluaskan transformasi digital dalam kalangan usahawan tempatan.
Selain Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, program itu turut berkolaborasi dengan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upen) dan Platform Selangor (Plats).
The post Program Selangor 1000 Digital jelajah sembilan daerah, bantu usahawan tingkat niaga appeared first on Selangorkini.
