Program SMART SBB tingkat pengeluaran beras di Sabah

19 Feb 2023 • 3:25 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

KOTA BELUD: Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Persekutuan Malaysia (MAFS) bakal membantu meningkatkan pengeluaran beras di Sabah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata, ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan pesawah, malah meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras di negeri ini.

Menurut Chan, di bawah program SMART SBB, MAFS akan melibatkan diri dalam kerjasama strategik dengan syarikat terkemuka dalam sektor swasta.

“Dengan kerjasama syarikat-syarikat ini, pesawah tempatan akan meningkatkan hasil dan kualiti padi mereka, terutamanya jika dibandingkan dengan ketika mereka bercucuk tanam dan mengusahakan sawah sendirian. Syarikat-syarikat ini dijangka menyediakan jentera, seperti traktor, dan bantuan teknologi, seperti dron, untuk membantu pesawah menanam padi mengikut jadual kerja mereka.

“Melalui Program SMART SBB ini, pesawah akan dapat menguruskan sawah padi mereka secara berpasukan dengan lebih sistematik.

“Di peringkat nasional, sebanyak 27 syarikat telah menyertai program SMART SBB ini di 10 negeri dengan penyertaan seramai 5,000 pesawah dan lebih 11,000 hektar sawah.

“Di Kota Belud, seramai 40 pesawah (Skim Jawi-Jawi) telah mengambil bahagian dan hasilnya baik dengan purata hasil padi meningkat daripada 2.6 tan metrik sehektar kepada 4.15 tan metrik sehektar,” kata Chan.

Beliau seterusnya berkata program SMART SBB dalam Skim Jawi-Jawi telah mencapai jumlah keluasan 126.78 hektar pada 2023 – ini merupakan peningkatan sebanyak 153.6 peratus berbanding keluasan 50 hektar pada 2022.

“Dilaporkan juga pendapatan pesawah daripada hasil tuaian padi sekitar RM2,000 pada musim menuai sebelum ini, meningkat kepada RM6,000 pada musim ini.

“Berdasarkan rekod semasa, tahap sara diri beras (SSL) Sabah setakat 2021, hanya 22.8 peratus, manakala purata nasional ialah 65 peratus,” katanya.

Chan berkata, kerajaan berhasrat mencapai sasaran 75 peratus tahap sara diri beras (SSL) menjelang 2025 seperti yang digariskan di bawah Dasar Agro-Makanan Negara (DAN) 2.0 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Seperti yang dapat dilihat, kita masih ada banyak kerja yang perlu dilakukan bagi membolehkan Sabah mencapai sasaran di bawah DAN 2.0.

“Saya berharap kerjasama dengan syarikat-syarikat terkemuka dalam sektor swasta ini di bawah Program SMART SBB akan menjadi titik permulaan kepada perubahan dalam landskap industri padi dan beras tempatan di Sabah,” kata Chan.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja dua hari ke Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud pada Khamis.

Dalam lawatan kerja itu, Chan melawat Sri Dusun, kilang beras terbesar di Sabah dan juga Gudang Simpanan Beras Bernas.

Turut hadir semasa lawatan Chan adalah Ketua Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras MAFS Azman Mahmood, Pengarah IADA Kota Belud Norfaine Sameun dan ketua-ketua agensi MAFS lain di Sabah.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.