hamden03/08/2026 - 15:30 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos - Program Sukuk bernilai RM2.6 bilion milik Sime Darby Property NEV (Holdings) Sdn. Bhd. (SDP NEV) menerima Penilaian Impak "Gold" daripada MARC Solutions, sekali gus mengiktiraf kredibiliti Rangka Kerja Pembiayaan Hijau yang menyokong pembangunan infrastruktur digital mampan di Malaysia.
Pengiktirafan itu diberikan selepas MARC Solutions menilai aspek tadbir urus rangka kerja, kategori projek hijau yang layak, pengurusan hasil pembiayaan, komitmen pelaporan serta impak alam sekitar yang dijangka, sekali gus mencerminkan tahap pematuhan yang tinggi terhadap piawaian pasaran dan amalan terbaik antarabangsa.
Program Sukuk tersebut merupakan struktur pembiayaan sukuk pertama di dunia yang dikhususkan bagi pembangunan infrastruktur pusat data, dengan dana yang diperoleh akan digunakan untuk membiayai projek-projek mampan termasuk pusat data hiperskala, selain kemudahan industri dan logistik automatik.
Rangka Kerja Pembiayaan Hijau SDP NEV dibangunkan dengan sokongan Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) dan Asian Development Bank (ADB) selaku Penasihat Bersama Penstrukturan Kemampanan.
Rangka kerja itu diselaraskan dengan beberapa piawaian pembiayaan hijau yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk Prinsip Bon Hijau oleh International Capital Market Association (ICMA), Piawaian Bon Hijau ASEAN oleh ASEAN Capital Markets Forum (ACMF) serta Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI Sukuk Framework) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) merangkap Pengarah Eksekutif MARC Solutions, Arshad Mohamed Ismail berkata, penubuhan Program Sukuk SDP NEV merupakan satu pencapaian penting dalam landskap pembiayaan infrastruktur digital mampan negara.
"Ketika pelaburan dalam pusat data berskala besar dan aset ekonomi baharu lain terus berkembang pesat, adalah penting pembiayaan tersebut disokong oleh rangka kerja pembiayaan hijau yang berwibawa bagi menggalakkan ketelusan, akauntabiliti dan hasil alam sekitar yang boleh diukur.
"Ini menyerlahkan peranan pembiayaan mampan dalam menyokong pembangunan infrastruktur strategik yang diperlukan untuk memacu ekonomi digital Malaysia, di samping memajukan agenda kemampanan negara," katanya.
Tingkatkan Keyakinan Pelabur
Beliau berkata, penilaian impak bebas seperti itu turut meningkatkan keyakinan pelabur terhadap integriti alam sekitar sesuatu instrumen pembiayaan kerana ia disokong oleh tadbir urus yang kukuh, kriteria pemilihan projek yang jelas serta pelaporan impak yang telus.
"Apabila pembiayaan mampan terus berkembang, penilaian seperti ini akan memainkan peranan lebih penting dalam memperkukuh keyakinan pasaran, menyokong keputusan pelaburan yang lebih tepat serta memacu pertumbuhan berterusan pasaran modal mampan Malaysia," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property Berhad, Datuk Seri Azmir Merican berkata, syarikat itu menjadi pemaju hartanah pertama di Malaysia yang menggabungkan pembiayaan sukuk dengan struktur ekuiti persendirian hartanah institusi yang disokong oleh Rangka Kerja Pembiayaan Hijau bertaraf "Gold".
Menurut beliau, pencapaian itu memperkukuh komitmen Sime Darby Property terhadap pertumbuhan mampan, di samping mengukuhkan disiplin pengurusan modal kumpulan.
"Program Sukuk RM2.6 bilion ini merupakan satu pencapaian penting dalam transformasi SHIFT32 kami serta mengukuhkan kedudukan Sime Darby Property dalam sektor ekonomi baharu yang berkembang pesat.
"Sebagai rakan kongsi am dan pengurus Dana NEV, kami sedang membangunkan platform pelaburan institusi yang membolehkan pembangunan aset bina untuk disewa (build-to-suit) berkualiti tinggi yang diperlukan oleh pengendali teknologi global secara sistematik," katanya. - DagangNews.com





