Program Tarif Elektrik Hijau diteruskan tahun depan

29 Dec 2023 • 4:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUALA LUMPUR - Program Tarif Elektrik Hijau (GET) yang diperkenalkan bagi menawarkan bekalan elektrik hijau daripada sumber tenaga boleh baharu (TBB) kepada pengguna elektrik akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2024, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA).

Program yang dilaksanakan pada tahun lepas itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam menyokong aspirasi negara ke arah negara neutral karbon pada tahun 2050.

Menurut kementerian itu, pengguna yang melanggan GET akan dibekalkan dengan bekalan elektrik daripada sumber TBB yang dijana daripada loji jana kuasa solar dan hidro yang sedang beroperasi.

Mereka juga akan mendapat sijil yang mengesahkan bahawa bekalan elektrik tersebut adalah bekalan elektrik daripada sumber TBB melalui sijil 'Malaysia Renewable Energy Certificates' atau mREC® yang berdaftar dengan badan persijilan antarabangsa.

"Memandangkan langganan sedia ada pengguna bagi program GET ini akan ditamatkan secara automatik menjelang 31 Disember 2023, kementerian sedang meneliti serta menambah baik pelaksanaan serta kaedah pengoperasian program ini,” kata KPTDGA dalam kenyataan hari ini.

Antara penambahbaikan termasuk meneliti semula kadar premium yang ditetapkan agar ia lebih kompetitif dan menarik, meneliti semula kaedah penawaran GET bagi membenarkan tempoh langganan yang lebih panjang dan menetapkan kaedah bagi keutamaan langganan kepada pelanggan GET sedia ada yang setia untuk memperbaharui langganan masing-masing.

Menurut kementerian itu lagi, perincian mengenai tawaran, pelaksanaan serta kaedah langganan program itu akan dimaklumkan pada masa terdekat, setelah kajian dan penelitian semula program ini diselesaikan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved