Program Tahfiz Cilik Premier Thalatha Tis’a mencatat pencapaian baharu dalam pendidikan awal kanak-kanak apabila 15 peserta berusia seawal tiga tahun berjaya menamatkan hafazan Juzuk 30 dalam tempoh 120 hari.
Majlis Haflah Khatam Hafazan Al-Quran Juzuk 30 itu berlangsung di Surau Al-Furqan dan dirasmikan Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Al-Fadhil Dr. Amru Al Haz Adnan.
Penaung Program Thalatha Tis’a, Tan Sri Idris Jusoh menyifatkan inisiatif itu sebagai pelaburan penting dalam usaha membentuk generasi berakhlak dan berjati diri Qurani.
“Program ini membuktikan bahawa pendidikan berkualiti tidak terhad kepada usia. Melalui pendekatan yang betul, kanak-kanak mampu menjadi aset kepada keluarga, masyarakat dan negara,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Pusat Ulul Albab UPSI, Dr. Sakinah Salleh berkata konsep hafazan pada usia awal membantu membentuk hubungan emosi dan spiritual antara kanak-kanak dengan al-Quran selain menjadikan mereka lebih mesra al-Quran sejak kecil.
“Program ini turut dilaksanakan di Taska KEMAS dan Taska Tunas Istimewa melibatkan kanak-kanak autism,” katanya.
Program Thalatha Tis’a dibangunkan berdasarkan rujukan kurikulum Ihyaul Quran Indonesia, sebelum diperincikan melalui kajian oleh pasukan penyelidik UPSI dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak dan pedagogi tahfiz.
Pendekatan program menekankan hafazan sistematik berskala kecil, kaedah talaqqi, murajaah, ziyyadah, serta stimulasi memori yang disusun mengikut perkembangan kognitif kanak-kanak.
Sementara itu, Pentadbir Program Thalatha Tis’a Surau Al-Furqan, Dr. Hapidah Mohamed berkata pencapaian hafazan dalam tempoh 120 hari membuktikan keberkesanan kurikulum yang berpaksikan pendekatan saintifik.
“Ini bukan sekadar pencapaian angka, tetapi bukti bahawa kurikulum Thalatha Tis’a menepati fitrah dan perkembangan kanak-kanak.
“Program Thalatha Tis’a kini dilihat sebagai model pendidikan hafazan awal kanak-kanak yang berpotensi dijadikan rujukan peringkat nasional melalui gabungan penyelidikan UPSI dan kurikulum Ihyaul Quran Indonesia,” katanya.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan JAWI Putrajaya, Kasumawati Kasim; Pengasas Ihyaul Quran Indonesia, Ibu Maya Novita serta wakil rakan kerjasama strategik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Yayasan Pahang, UNITEN dan KEMAS.
Majlis turut diserikan dengan alunan bacaan surah oleh para huffaz cilik serta penyampaian sijil kepada peserta, disertai kehadiran ibu bapa yang terharu melihat kemampuan anak-anak melagukan ayat al-Quran dengan fasih.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)

