Program warisan dapur tiga etnik bakal jadi acara tahunan di Sabak Bernam

LocalFood
8 Aug 2026 • 6:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Program warisan dapur tiga etnik bakal jadi acara tahunan di Sabak Bernam

SABAK BERNAM, 8 OGOS: Program Warisan di Dapur Menyatukan Rasa Masakan Jawa, Banjar dan Bugis peringkat daerah Sabak Bernam bakal dijadikan acara tahunan bagi memastikan khazanah makanan warisan tiga etnik berkenaan terus dipelihara dan diketengahkan.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata program berkenaan menjadi platform untuk mengetengahkan identiti masyarakat menerusi masakan warisan selain menggalakkan penyertaan pelbagai kaum dan etnik dalam aktiviti kebudayaan.

Image from: Program warisan dapur tiga etnik bakal jadi acara tahunan di Sabak Bernam
EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah ditemui selepas menyempurnakan program Warisan di Dapur Menyatukan Rasa Masakan Jawa, Banjar dan Bugis Daerah Sabak Bernam di Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 8 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Kita lihat tadi wakil daripada orang Jawa dengan masakan seperti ungkep, ada juga daripada orang Bugis seperti burasak dan segi orang Banjar makanan wali kepeng.

“Pagi tadi juga larian hampir 1,000 orang sertai… Alhamdulillah masyarakat Sabak Bernam apabila ada program-program di bawah Kerajaan Negeri mendapat sambutan begitu baik. Ini menunjukkan bahawa inilah acara untuk menyatukan pelbagai kaum dan etnik.

“Jadi, seperti saranan pegawai daerah, kita akan jadikan acara ini sebagai program tahunan di peringkat daerah-daerah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program berkenaan di Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan, di sini, hari ini.

Image from: Program warisan dapur tiga etnik bakal jadi acara tahunan di Sabak Bernam
EXCO Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah bersama EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim melakukan simbolik perasmian program Warisan di Dapur Menyatukan Rasa Masakan Jawa, Banjar dan Bugis Daerah Sabak Bernam di Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 8 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menurut Borhan, pendekatan mengetengahkan makanan warisan melalui program seperti itu penting bagi memastikan identiti dan budaya setiap etnik terus dikenali, khususnya oleh generasi muda.

Sementara itu, EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata penganjuran program yang menggabungkan warisan masakan Jawa, Banjar dan Bugis merupakan usaha penting untuk memelihara serta mempromosikan khazanah makanan tempatan kepada masyarakat dan pelancong.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Sekinchan berkata makanan warisan perlu terus dipelihara dan dipromosikan secara lebih meluas supaya berpotensi menjadi antara tarikan pelancongan di kawasan berkenaan.

Image from: Program warisan dapur tiga etnik bakal jadi acara tahunan di Sabak Bernam
EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim ditemui media selepas perasmian program Warisan di Dapur Menyatukan Rasa Masakan Jawa, Banjar dan Bugis Daerah Sabak Bernam di Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan, Sabak Bernam pada 8 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Ini merupakan satu program yang sangat menarik dan bersejarah dimana kita mempromosikan warisan masakan, dapur pelbagai etnik Jawa, Banjar dan Bugis untuk kita ketengahkan serta saling mengenali.

“Yang pentingnya warisan inilah yang harus kita pelihara dan kedua promosikan lebih meluas supaya pelancong-pelancong yang datang ke anjung utara di Sekinchan ini dan merasai masakan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ng berkata pihaknya turut merancang membina sebuah pusat sehenti di Sekinchan bagi menempatkan usahawan tempatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat.

“Apabila Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) jajaran Tanjung Karang siap tahun depan. Ini peluang keemasan untuk berniaga dan pengunjung shopping supaya ekonomi luar bandar terus dinaikkan,” katanya.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved