Programmer 32 Tahun Maut Disyaki Akibat ‘Overwork’, Masih Terima Tugasan Selepas Disahkan Meninggal Dunia

WorldTechnology
2 Feb 2026 • 11:00 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

LUAR NEGARA – Seorang pengatur cara komputer dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung yang dipercayai berpunca daripada tekanan kerja melampau, menurut laporan media tempatan.

Mangsa, Gao Guanghui, 32, difahamkan bekerja tanpa henti selama bertahun-tahun dengan rutin pulang lewat malam hampir setiap hari sebelum menghembuskan nafas terakhir pada November 2025.

Menurut isterinya yang hanya mahu dikenali sebagai Li, suaminya bangun awal pagi pada hari kejadian dalam keadaan tidak sihat, namun tetap berkeras mahu menyelesaikan beberapa tugasan pejabat.

“Dia kata tak apa, nak siapkan kerja dulu,” luah Li.

Namun keadaan Gao semakin kritikal sebelum dia diserang sawan dan tidak sedarkan diri ketika dalam perjalanan ke hospital.

Doktor kemudian mengesahkan kematiannya pada petang hari sama.

Lebih menyayat hati, rekod dalaman syarikat menunjukkan Gao masih mengakses sistem kerja sebanyak lima kali pada hari dia meninggal dunia.

Masih Terima Tugasan Selepas Meninggal Dunia

Apa yang benar-benar mencetuskan kemarahan netizen apabila akaun kerja Gao didapati masih menerima tugasan segera daripada majikan, kira-kira lapan jam selepas kematiannya disahkan.

Seolah-olah sistem terus berjalan… tanpa peduli tuannya sudah tiada.

Li mendedahkan, sejak dinaikkan pangkat sebagai ketua pasukan pada 2021, suaminya semakin jarang pulang awal.

Kebiasaannya, Gao hanya sampai rumah selepas jam 9.30 malam.

Rekod perbualan pasangan itu juga menunjukkan Li kerap merayu supaya suaminya berehat atau ambil cuti, namun Gao tetap menolak.

Katanya, dia tak sampai hati tinggalkan pasukan dan mahu pastikan semua tugasan siap ikut masa.

Dari Hidup Susah Ke Kerja Tanpa Henti

Kisah hidup Gao turut meruntun perasaan ramai.

Sejak kecil, dia pernah mengutip sampah untuk cari duit poket. Hidup serba kekurangan menjadikan dia seorang yang terlalu kuat bekerja.

Dalam diarinya, Gao sering menulis azam mahu bekerja lebih keras demi mengubah nasib keluarga.

Namun siapa sangka, kesungguhan itu akhirnya memakan diri.

Budaya Kerja Ekstrem Dipersoal

Susulan kejadian, pihak berkuasa kini menjalankan siasatan terhadap syarikat terbabit.

Kes ini kembali membuka perdebatan hangat tentang budaya kerja ekstrem yang semakin menular, di mana pekerja dipaksa ‘hidup untuk kerja’, bukannya bekerja untuk hidup. – The Malaysian Update

The post Programmer 32 Tahun Maut Disyaki Akibat ‘Overwork’, Masih Terima Tugasan Selepas Disahkan Meninggal Dunia appeared first on The Malaysian Update.