Projek 5,000 CCTV DBKL mula jana hasil, HLIB yakin ITMAX memasuki fasa pertumbuhan lebih pantas

LocalBusiness & Finance
26 May 2026 • 11:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek 5,000 CCTV DBKL mula jana hasil, HLIB yakin ITMAX memasuki fasa pertumbuhan lebih pantas Image from: Projek 5,000 CCTV DBKL mula jana hasil, HLIB yakin ITMAX memasuki fasa pertumbuhan lebih pantas amree26/05/2026 - 11:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Mei — Pelaksanaan penuh 5,000 unit kamera litar tertutup (CCTV) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai April 2026 dijangka menjadi pemangkin hasil ITMAX System Berhad.

 

Menurut analisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), perkembangan positif itu meletakkan syarikat tersebut pada landasan untuk mencatat prestasi lebih baik sepanjang tahun kewangan 2026 (FY26).


Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan tersebut dengan harga sasaran (TP) dinilai RM6.01 sesaham berbanding RM6.04 sebelum ini.


"Unjuran ini berdasarkan untung bersih ITMAX bagi suku pertama FY26 berjumlah RM24.6 juta, naik 22.3% tahun ke tahun (YoY) walaupun susut sedikit 0.6% berbanding suku sebelum itu," katanya.


Prestasi cukup menggalakkan tersebut tambah HLIB, turut disifatkan sebagai menepati jangkaannya dan konsensus pasaran, yang mewakili kira-kira 20% daripada unjuran keuntungan penuh FY26 sendiri.


Ujarnya, sumbangan pendapatan daripada segmen infrastruktur perkhidmatan digital (DSI) yang mempunyai margin lebih tinggi terus menjadi pemacu utama prestasi syarikat berkenaan bagi 1QFY26.


Ia turut disokong peningkatan bilangan CCTV di Johor dan sumbangan projek parkir pintar, manakala hasil ITMAX bagi suku itu turut naik hampir 30% YoY, didorong pertumbuhan 47.1% dalam segmen DSI.


"Bagaimanapun, kami mendapati segmen bekalan, pemasangan dan penyelenggaraan (SINMS) merekodkan prestasi yang lebih perlahan susulan siapnya projek lampu jalan LED pintar di Segamat," kata HLIB.


Momentum pertumbuhan kumpulan itu jelas firma penyelidikan berkenaan, namun dijangka bertambah lebih kukuh sepanjang tempoh enam bulan yang kedua FY26 susulan beberapa faktor positif utama.

 

Ini termasuk ketiadaan kos sekali sahaja berkaitan pengaktifan parkir pintar, pengebilan progresif projek CCTV DBKL, serta permulaan operasi parkir pintar ITMAX di Johor Bahru sejak 1 Mei 2026.


Selain itu ujar HLIB, pelaksanaan projek parkir pintar di Selangor dan Johor, serta sumbangan hasil pertama kontrak lampu isyarat pintar di Iskandar Puteri dijangka mempercepatkan pertumbuhan.


"Kami turut menjangka potensi meraih banyak kontrak CCTV daripada DBKL dan kawasan Greater Johor Bahru selaras dengan pelaksanaan agenda bandar pintar yang semakin pesat di negara ini," jelasnya.


Pada masa sama, dasar penggunaan sistem tunggal di Johor dijangka terus memberi kelebihan kepada ITMAX untuk memenangi kontrak baharu di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di negeri itu.


HLIB turut memperkenalkan unjuran keuntungan FY28 sebanyak RM151 juta, manakala pendapatan sesaham (EPS) dijangka bertambah kepada 11.5 sen bagi FY26, 13.2 sen bagi FY27 dan 14.7 sen bagi FY28.


Firma penyelidikan itu berkata, prospek jangka panjang kumpulan tersebut kekal menarik berikutan kadar penggunaan CCTV di Malaysia masih rendah berbanding negara-negara maju seperti Singapura.


“Ketika ITMAX sedang melaksanakan kira-kira 10,000 unit CCTV untuk DBKL, Singapura kini mempunyai sekitar 90,000 unit dan menyasarkan peningkatan kepada 200,000 unit menjelang 2030,” katanya.


HLIB berpandangan infrastruktur digital yang dibangunkan syarikat itu berpotensi dimanfaatkan bagi pelbagai aplikasi bandar pintar pada masa depan termasuk analitik data, dan penilaian trafik.


Perkembangan tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan kumpulan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu sebagai antara pemain utama transformasi digital bandar di Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article