Projek AI Huawei pasang 3,000 unit cip tidak diiktiraf kerajaan - MITI

LocalTechnology
22 May 2025 • 10:36 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek AI Huawei pasang 3,000 unit cip tidak diiktiraf kerajaan - MITI

image is not available

22/05/2025 - 10:36

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 22 Mei - Kerajaan Malaysia menegaskan projek kecerdasan buatan (AI) melibatkan 3,000 unit cip AI keluaran Huawei menjelang 2026 bukan inisiatif rasmi kerajaan dan tidak mendapat pengiktirafan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan projek berkenaan yang disokong Huawei serta dilancarkan awal minggu ini tidak dibangunkan, disokong, mahupun diuruskan oleh kerajaan Malaysia.

Projek itu tidak termasuk dalam sebarang program rasmi mahupun inisiatif nasional yang sedang dilaksanakan.

Penjelasan MITI hadir susulan pelancaran terdahulu yang disaksikan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menyatakan Malaysia bakal menjadi negara pertama yang menggunakan infrastruktur AI Huawei secara nasional, namun kenyataan itu kemudiannya ditarik balik.

MITI berkata, meskipun kerajaan komited membangunkan infrastruktur berasaskan AI bagi sektor awam, namun sebarang inisiatif berkaitan perlu melalui penilaian wajar (due diligence) merangkumi aspek undang-undang, operasi serta reputasi.

"Malaysia kekal mematuhi sepenuhnya semua undang-undang kawalan eksport, arahan keselamatan negara dan panduan baharu yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kawal selia antarabangsa.

"Prinsip ketelusan, akauntabiliti, keselamatan dan berkecuali sentiasa didukung, selaras dengan pendirian multilateralisme di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)," katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian itu turut menegaskan Malaysia berhak merumuskan dasar berdasarkan kepentingan nasional, di samping terus menyokong teknologi transformatif yang memperkasa inovasi dan penyelidikan global demi manfaat sejagat.

Laporan Bloomberg sebelum ini memetik projek tersebut yang turut membabitkan penggunaan model bahasa besar (LLM) keluaran syarikat pemula China, DeepSeek, sekali gus menarik perhatian kerajaan Amerika Syarikat.

Penasihat utama Presiden AS Donald Trump dalam bidang AI, David Sacks, menggunakan projek itu sebagai contoh kebimbangan terhadap pengaruh teknologi China yang dalam pasaran strategik global.

Baru-baru ini, Jabatan Perdagangan AS mengeluarkan garis panduan yang memberi amaran kepada syarikat luar negara supaya tidak menggunakan cip Ascend keluaran Huawei.

Bagaimanapun, panduan itu kemudian disemak semula selepas China menuduh AS cuba menjejaskan rundingan perdagangan dua hala.- DagangNews.com

standard

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved