liza22/06/2026 - 11:27 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Jun – Malacca Securities mengekalkan pandangan positif terhadap EITA Resources Berhad walaupun syarikat itu mencatat keputusan yang lebih lemah pada separuh pertama tahun kewangan 2026 (1H FY2026).
Firma penyelidikan itu menjangkakan pemulihan prestasi pada separuh kedua 2026 (2H FY2026) disokong oleh aliran pelaksanaan projek infrastruktur yang semakin meningkat dalam buku kerja syarikat.
Menurut Malacca Securities, EITA mencatat hasil 1H FY2026 sebanyak RM184.6 juta dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM6.2 juta dan keuntungan bersih teras (core PATMI) RM4.2 juta.
Katanya, prestasi itu menunjukkan penurunan ketara apabila PBT merosot 59.7 peratus tahun ke tahun (YoY), dipengaruhi oleh kerugian dalam segmen pembuatan serta pendapatan lebih rendah dalam segmen pemasaran & pengedaran dan perkhidmatan.
Dalam masa sama, segmen Sistem Voltan Tinggi menunjukkan pemulihan ketara apabila hasil meningkat 80.5 peratus YoY pada 2Q FY2026.
Segmen itu juga kembali mencatat keuntungan kecil sebanyak RM58,000 berbanding kerugian RM1.7 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, dengan fokus pengurusan kini beralih kepada projek pencawang (substation) bermargin lebih tinggi.
Malacca Securities berkata pihaknya menjangkakan pemulihan akan berlaku pada separuh kedua tahun ini seiring pelaksanaan projek-projek utama yang telah diperoleh syarikat.
“EITA turut mendapat manfaat daripada ledakan pusat data yang meningkatkan permintaan terhadap produk busduct (sistem saluran pengagihan elektrik utama) melalui Furutec Busduct.
“Produk tersebut digunakan secara meluas dalam pusat data di Indonesia, Singapura dan Malaysia, selain projek infrastruktur seperti MRT, memberikan kelebihan kompetitif kepada Kumpulan,” kata Malacca Securities dalam nota kajiannya.

Selain itu, segmen perkhidmatan penyelenggaraan lif terus menyokong pendapatan berulang syarikat dengan 3,556 unit lif diselenggara daripada 4,193 unit yang telah diserahkan mewakili kadar pengekalan sekitar 85 peratus.
Dari segi buku tempahan, EITA mencatat RM352.9 juta setakat 31 Mac 2026, merangkumi segmen lif sebanyak 54.8 peratus (RM193.4 juta), Sistem Voltan Tinggi 21.3 peratus (RM75.2 juta) dan busduct 19.2 peratus (RM67.6 juta).
Firma itu berkata pengurangan buku tempahan daripada RM470.4 juta sebelum ini adalah disebabkan oleh penyiapan projek serta masa perolehan kontrak baharu.
Antara projek utama sedang dilaksanakan termasuk ECRL (RM18 juta, 20 stesen, siap Disember 2026), RTS Link Johor–Singapura (RM40–50 juta, siap akhir 2026), LRT3 (RM67.5 juta melibatkan 66 lif dan 130 eskalator) serta KUTS Fasa 1 di Kuching (RM19 juta).
Malacca Securities berkata EITA berada dalam kedudukan baik untuk mendapatkan kontrak baharu susulan permintaan tinggi dalam sektor infrastruktur, elektrifikasi dan pertumbuhan pusat data.
Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran lebih tinggi RM0.60 berbanding RM0.52 sebelum ini, selepas menaikkan gandaan penilaian kepada 11.0x P/E ke atas EPS FY27f sebanyak 5.43 sen.
Peningkatan penilaian itu mencerminkan kecairan dagangan lebih baik, visibiliti tempahan yang kukuh serta prospek pertumbuhan daripada segmen busduct pusat data, selain peralihan asas penilaian ke FY27f. - DagangNews.com





