Tiga tahun lalu kami laporkan mengenai projek Australia-Asia PowerLink (AAPowerLink) yang akan membekalkan kuasa elektrik yang dijana menggunakan solar di Australia ke Singapura. Dengan kabel mencecah 4300 kilometer, Ia akan menjadi sistem bekalan kuasa elektrik bawah laut paling panjang di dunia.
Projek AAPowerLink kini maju selangkah selepas projek menerima lampu hijau daripada Kerajaan Wilayah Utara Australia untuk dimulakan. Ia kini menerusi fasa seterusnya untuk mendapatkan persetujuan kerajaan Indonesia pula kerana kabel akan melalui perairan negara tersebut. Projek sepatutnya mula beroperasi pada tahun 2027 tetapi kini mungkin hanya akan bermula 2030.

Apabila siap kelak ia akan membekalkan kuasa sehingga 20 GW dan turut mempunyai kapasiti simpanan bateri sehingga 42 GWh dengan kos dianggarkan mencecah $22 billion (~RM102 bilion). Ini adalah mencukupi untuk keperluan 15% kuasa Singapura.
Kekangan ruang tanah menyukarkan Singapura untuk membina ladang solar dan angin mereka sendiri. Penyelesaian kreatif seperti membina ladang solar pada kawasan empangan, tadahan air dan permukaan laut sudahpun dilakukan.


