'Projek diumum mesti dilaksanakan' - Anwar

Politics
23 Jul 2023 • 1:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar (tengah) menyerahkan sumbangan bagi Program Pembangunan Orang Asli Negeri Kelantan dah Terengganu kepada wakil Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Mohd Fazli Mamok (dua dari kanan) pada Program Sentuhan Kasih Desa Kelantan di Dataran Kesedar Paloh 2 pada Ahad. - Foto Bernama

GUA MUSANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu sebarang projek yang diumumkan sebelum pilihan raya dilupakan selepas itu.

Beliau berkata, setiap projek yang telah diumumkan perlu dilaksanakan kerana Kerajaan Perpaduan bukan sebagaimana pentadbiran sebelum ini.

"Kita bukan kerajaan yang seperti itu...Umum sebelum pilihan raya lepas pilihan raya kita lupa.

"Saya tidak mahu orang anggap bohong," katanya semasa menyampaikan ucapan di Program Sentuhan Kasih Desa di Paloh 2, di sini pada Ahad yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Anwar lagi, sebaik sahaja projek diumum, dalam masa beberapa bulan ia mesti dilaksanakan.

Ujarnya, kalau ada kelewatan, pegawai-pegawai yang bertindak akan bertanggungjawab.

Anwar memberitahu, itu pendekatan yang dilakukan dalam Kerajaan Perpaduan.