
KUALA LUMPUR 3 Dis – Advancecon Holdings Berhad mengumumkan anak syarikat milik penuh mereka, Advancecon Infra Sdn. Bhd. (AISB) menang kes adjudikasi berhubung pembayaran tertunggak daripada China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Advancecon berkata, CCC perlu membayar RM3.33 juta kepada AISB beserta faedah 5 peratus setahun bermula 4 September 2025 sehingga bayaran penuh dilakukan.
“CCC juga perlu membayar kos pertikaian RM100,000, menanggung semua yuran adjudikator dan Asian International Arbitration Centre (AIAC), serta menggantikan semua bayaran yang telah dibuat oleh AISB sepanjang proses ini,” katanya dalam makluman tersebut.
Ini merupakan kemenangan kedua AISB dalam tahun ini. Sebelum ini, pada 7 Oktober 2025, AISB telah memperoleh kira-kira RM7.04 juta dalam pertikaian pembayaran lain berkaitan projek ECRL.
Kedua-dua keputusan ini menegaskan hak AISB untuk dibayar bagi kerja yang telah disiapkan dan menunjukkan komitmen Advancecon memastikan semua kerja projek infrastruktur diiktiraf dan dibayar dengan sewajarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon Holdings Berhad, Datuk Phum Ang Kia berkata, kemenangan ini membuktikan kekuatan tuntutan kontrak syarikat dan kepentingan mengekalkan tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan projek.
“Walaupun impak kewangan terhadap tahun kewangan 2025 tidak signifikan, keputusan ini memastikan syarikat menerima bayaran tepat pada masanya bagi kerja yang telah disiapkan,” katanya.
Advancecon yang ditubuhkan pada 1990, menyediakan perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam di Malaysia termasuk pembangunan bandar, lebuh raya dan projek keretapi seperti ECRL, Lebuh Raya Pantai Barat (WCE), dan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Kumpulan juga mempunyai anak syarikat tenaga boleh diperbaharui, Advancecon Solar Sdn. Bhd., serta kepentingan dalam Spring Energy Resources Berhad dan projek Silver Valley Technology Park di Perak bernilai RM1 bilion.
Kumpulan akan terus memantau perkembangan selepas keputusan pertikaian kontrak ini dan membuat pengumuman lanjut jika perlu mengikut keperluan penyenaraian Bursa Malaysia.- DagangNews.com
