KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjalin kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi mengusahakan tanah seluas 8.09 hektar milik kementerian berkenaan di negeri itu menerusi Projek Ehsan Perwira.
Projek itu dapat memperkasa kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta memperkukuh sekuriti makanan negara.
Inisiatif tersebut dimeterai melalui memorandum kerjasama (MoC) yang diserahkan antara Ketua Pegawai Eksekutif PKPS, Datuk Dr Mohamad Khairil Mohd Razi, manakala MINDEF diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali.
Penyerahan MoC itu disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Majlis berkenaan berlangsung sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Selasa.
Amirudin berkata, MINDEF telah mengenal pasti tanah tersebut di beberapa lokasi termasuk Sabak Bernam dan Kuala Selangor, melibatkan penyertaan kira-kira 40 veteran ATM.
“Setiap peserta akan diberikan kawasan seluas 0.202 hektar yang akan diusahakan dengan tanaman cili fertigasi dan timun sebagai permulaan sebelum diperluaskan kepada tanaman kontan lain,” katanya.
Beliau berkata, peserta akan dibimbing secara menyeluruh oleh PKPS termasuk dari aspek penyediaan benih, teknologi pertanian, pengurusan ladang serta pemasaran hasil.
“Hasil pertanian tersebut dijamin pasaran melalui rangkaian sedia ada termasuk pasar borong di Selangor dan Jualan Ehsan Rahmah,” katanya.
**media[3498146]**
Tambah beliau, projek itu akan dilaksanakan secara berfasa dengan kerja-kerja penyediaan tanah dan pemilihan peserta sedang giat dijalankan ketika ini.
“Kita juga akan melakukan saringan bagi memastikan hanya peserta yang benar-benar komited terlibat dalam projek ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif itu tidak menggunakan tenaga kerja asing, sebaliknya memberi keutamaan sepenuhnya kepada veteran ATM selaras dengan matlamat kerjasama bersama MINDEF.
“Pengalaman PKPS dalam projek pertanian sebelum ini termasuk kerjasama di Kem Terendak akan dimanfaatkan bagi memastikan kejayaan program ini. Kita komited untuk memastikan projek ini berjaya dan memberi manfaat kepada veteran,” katanya.
Pendapatan RM2,100 sebulan
Sementara itu, Mohamad Khairil berkata, melalui projek tersebut, peserta akan menerima jaminan pendapatan minimum sebanyak RM2,100 sebulan, tidak termasuk bonus hasil jualan selepas tempoh tuaian.
“Kita jangkakan selepas tiga bulan, apabila hasil dituai dan dijual, mereka boleh memperoleh pendapatan sekitar RM5,000 ke atas bergantung kepada hasil semasa,” katanya.
Menurutnya, PKPS akan menyediakan sokongan menyeluruh merangkumi latihan, pengurusan ladang serta pemasaran bagi memastikan peserta mampu berdikari dalam sektor pertanian.
“Latihan yang diberikan adalah dari peringkat asas seperti penyediaan tanah sehinggalah kepada proses jualan. Kita juga akan menilai minat dan keupayaan peserta sama ada dalam bidang penanaman atau pemasaran.
“Ada dalam kalangan veteran yang mungkin lebih cenderung kepada aspek jualan dan pemasaran dan kita akan bantu mereka mengembangkan potensi tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, pemilihan peserta akan dibuat secara bersama dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) melalui proses saringan dan temu duga bagi memastikan hanya calon yang benar-benar berminat.
“Kerjasama ini dijangka dilaksanakan dalam tempoh lima tahun dengan kitaran tanaman sekitar tiga bulan bagi setiap pusingan tuaian,” katanya.
