Projek Hibrid Hidro Solar Tasik Kenyir berpotensi dikembangkan sehingga 7.5GW, perkukuh peranan TNB dalam peralihan tenaga - CGSI

LocalEnvironment
26 Jun 2026 • 11:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek Hibrid Hidro Solar Tasik Kenyir berpotensi dikembangkan sehingga 7.5GW, perkukuh peranan TNB dalam peralihan tenaga - CGSI Image from: Projek Hibrid Hidro Solar Tasik Kenyir berpotensi dikembangkan sehingga 7.5GW, perkukuh peranan TNB dalam peralihan tenaga - CGSI hamden26/06/2026 - 11:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Jun - Projek Hibrid Hidro Solar Terapung (HHFS) di Tasik Kenyir berpotensi menjadi antara hab tenaga boleh baharu terbesar di negara ini apabila kapasiti solar terapungnya berupaya dikembangkan sehingga 7.5GW pada masa hadapan, menurut CGS International Securities (CGSI).

 

Firma penyelidikan itu berkata, potensi berkenaan didedahkan oleh pihak pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika lawatan tapak ke loji hidro Kenyir baru-baru ini.

 

Menurutnya, Fasa 1 projek HHFS hanya akan menggunakan sebahagian kecil kawasan takungan Tasik Kenyir, sekali gus membuka ruang yang besar untuk pengembangan pada masa depan.

 

"Pihak pengurusan menganggarkan penggunaan kira-kira 10% keluasan Tasik Kenyir mampu menyokong kapasiti solar terapung sehingga 2.5GW.

 

"Berdasarkan kajian awal pula, liputan kawasan takungan berpotensi ditingkatkan kepada 50% hingga 60%, sekali gus memberikan kapasiti teori sehingga 7.5GW, tertakluk kepada penilaian teknikal, alam sekitar dan kelulusan pihak berkuasa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu berkata, Tasik Kenyir yang berkeluasan kira-kira 369 kilometer persegi merupakan tasik buatan manusia terbesar di Malaysia dan mempunyai kelebihan dari segi keluasan takungan serta infrastruktur hidro sedia ada untuk menyokong pembangunan solar terapung berskala besar.

 

Tnb tasik kenyir

 

Menurutnya, projek HHFS merupakan inisiatif utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dengan Fasa 1 membabitkan pembangunan sistem solar terapung berkapasiti 595MWac atau 785MWp yang digabungkan dengan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 297MW/1,190MWh.

 

Projek itu dijangka memulakan operasi komersial menjelang penghujung tahun kewangan 2028 menerusi usaha sama 70:30 antara TNB dan Terengganu Inc.

 

Pada masa sama, TNB telah memperoleh kontrak pembelian tenaga berasaskan konsep *take-or-pay* selama 21 tahun daripada DayOne DCs di bawah Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bagi Fasa 1 projek tersebut.

 

CGS International berkata, pihak pengurusan turut memaklumkan bahawa permintaan daripada pengendali pusat data terhadap bekalan tenaga hijau terus meningkat, didorong jurang tarif tenaga hijau dan tenaga konvensional yang semakin mengecil serta peningkatan nilai Sijil Tenaga Boleh Baharu (REC).

 

Selain menjana tenaga boleh baharu, aset hidro Kenyir turut memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan grid, memperkukuh keselamatan tenaga negara, mengurangkan risiko banjir dan mengurus sumber air.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan "Tambah" terhadap saham TNB dengan harga sasaran RM16.60 berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP).

 

Katanya, projek HHFS membuktikan keupayaan TNB memanfaatkan aset sedia ada untuk mengembangkan sumber pendapatan tenaga boleh baharu serta memenuhi permintaan tenaga hijau daripada pelanggan korporat, sekali gus meletakkan syarikat utiliti itu sebagai antara penerima manfaat utama agenda peralihan tenaga negara. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved