Projek HSR KL-Singapura tarik minat 37 firma pengangkutan seluruh dunia – laporan
diyana
15/01/2024 - 17:09
KUALA LUMPUR 15 Jan - Sebanyak 37 firma pengangkutan utama dari seluruh dunia sudah menghantar Permintaan Maklumat (RFI) yang lengkap, termasuk kos projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura setakat 14 Januari 2024.
Pengerusi MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp), Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman menyatakan bahawa firma yang menghantar RFI itu termasuk beberapa syarikat pengangkutan utama dari China dan Eropah.

"Setakat ini, 37 firma pengangkutan utama dunia sudah menghantar RFI kepada MyHSR dan ini menunjukkan komitmen mereka yang bukan saja sangat berminat melaksanakan projek HSR di Malaysia, malah melengkapkan kertas cadangan awal itu dengan konsep menarik, termasuk penggunaan teknologi terkini, selain turut menyatakan kos keseluruhan projek," katanya kepada Berita Harian.
Beliau juga yakin beberapa lagi firma pengangkutan utama akan menghantar RFI mereka menjelang tarikh akhir penyerahan yang ditetapkan hari ini.
Sementara itu, Fauzi menjelaskan bahawa syarikat pengangkutan Jepun tidak pernah menghantar RFI, sekali gus terkejut dengan dakwaan firma Jepun membuat keputusan membatalkan rancangan terbabit dalam projek HSR Kuala Lumpur-Singapura.
Namun, katanya, memang ada beberapa firma pengangkutan Jepun yang menghadiri taklimat awal yang diadakan MyHSR pada Julai 2023, yang mana pihaknya sudah menyatakan secara jelas projek itu akan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta.

Pada minggu lalu, Kyodo News, memetik sumber, telah mendakwa firma Jepun membuat keputusan membatalkan rancangan mereka untuk terlibat dalam projek HSR Kuala Lumpur-Singapura berikutan risiko tinggi tanpa bantuan kewangan kerajaan Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengesahkan bahawa projek HSR masih tidak terjejas walaupun firma Jepun melangkah mundur dari penglibatan dalam pembinaan.
Pada Mac 2021, kerajaan Malaysia pada masa itu membayar Singapura S$ 102.8 juta (RM320.27 juta) sebagai pampasan terhadap kos ditanggung republik itu susulan pembatalan projek berkenaan.
Pada 8 Mac 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Malaysia terbuka untuk menghidupkan semula HSR, tetapi kerajaan tidak akan membiayai pembinaan projek itu, - DagangNews.com

