‘Projek Jok Belaja’ bina harapan anak Temiar

LocalFamily & Parenting
17 Aug 2026 • 10:34 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

‘Projek Jok Belaja’ bina harapan anak Temiar

SUNGAI SIPUT – Sebaris demi sebaris perkataan dibaca, sedikit demi sedikit keyakinan dibina apabila sekumpulan mahasiswa Orang Asli turun padang mendekati murid Temiar menerusi Projek Jok Belaja di Pos Kuala Mu, di sini.

Program selama empat hari itu menyasarkan murid Tahun Empat hingga Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu, dengan aktiviti literasi Bahasa Melayu yang dirangka secara santai, interaktif dan bersesuaian dengan tahap penguasaan peserta.

Inisiatif berkenaan dianjurkan Persatuan Mahasiswa Orang Asli Malaysia (PMOA) dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dan Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali Ismail (IPGKDRI).

Pengarah Projek, Nurul Izzati Noorli, 22, berkata pengalaman berinteraksi secara dekat dengan murid memberi makna besar kepada pasukan pelaksana, khususnya apabila melihat perubahan keyakinan peserta sepanjang program.

“Setiap perkataan yang berjaya mereka baca ibarat sebuah kemenangan besar dan mengingatkan kami bahawa usaha kecil yang dilakukan dengan ikhlas mampu memberi impak besar dalam kehidupan seseorang,” katanya.

Image from: ‘Projek Jok Belaja’ bina harapan anak Temiar
Pengarah Projek Jok Belaja, Nurul Izzati Noorli (tiga dari kanan) menyerahkan modul Jok Belaja PdP Bahasa Melayu kepada Guru Besar SK Pos Kuala Mu sebagai tanda penghargaan atas kesudian menerima kunjungan pihak mereka bagi menjayakan program literasi

Menurutnya, Projek Jok Belaja bukan sekadar memberi pendedahan asas membaca dan mengenal huruf, sebaliknya membuka ruang kepada mahasiswa Orang Asli untuk kembali menyumbang kepada komuniti asal mereka menerusi pendidikan.

Katanya, kehadiran fasilitator yang mempunyai latar belakang komuniti sama turut membantu mewujudkan suasana pembelajaran lebih dekat dan selesa untuk murid.

“Program ini diharap dapat membantu murid membina keyakinan untuk terus belajar serta berani mengimpikan masa depan yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, projek berkenaan turut mendapat sokongan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), manakala IPGKDRI menyumbangkan kepakaran pendidikan dan YSS memperkukuh aspek kesukarelawanan belia.

Image from: ‘Projek Jok Belaja’ bina harapan anak Temiar
Sukarelawan, Quzandria Rania dan Hasya Irdina bersama murid SK Pos Kuala Mu meneroka ‘Sudut Jok Belaja’ yang baru dibina sebagai ruang pembelajaran santai dan interaktif

Beberapa rakan strategik turut membantu menerusi sumbangan kewangan serta bahan bacaan bagi menyokong usaha memperluas akses pendidikan kepada komuniti Orang Asli.

Walaupun berlangsung hanya empat hari, Projek Jok Belaja diharap menjadi pencetus kepada pengalaman pembelajaran yang positif, sekali gus mendorong murid untuk terus memperkukuh kemahiran membaca dan membina keyakinan diri.

The post ‘Projek Jok Belaja’ bina harapan anak Temiar appeared first on MYBERITA.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved