Projek kantin Sekolah Kebangsaan LKTP Kampung Awah, Maran tersenarai dalam projek daif

13 Feb 2023 • 6:25 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Pembinaan kantin Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kampung Awah, Maran di Pahang tersenarai dalam 74 projek daif yang diperakukan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi Rolling Plan Ketiga (RP3) 2023, Rancangan Malaysia ke-12, demikian menurut KPM.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KPM berkata kelulusan projek berkenaan tertakluk kepada Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat pada 24 Feb ini.

Projek tersebut melibatkan kerja-kerja meroboh bangunan daif sedia ada; membina semula bangunan baharu termasuk kantin dan kemudahan lain mengikut piawaian dan mesra Orang Kurang Upaya (OKU); perolehan peralatan dan kelengkapan baharu serta menambah baik kemudahan infrastruktur sedia ada.

Pada 10 Feb lepas, media melaporkan lebih 200 murid Sekolah Kebangsaan (LKTP) Kampung Awah terpaksa makan merata-rata termasuk di tepi longkang kerana kantin sekolah terbabit yang rosak sejak 2016 belum dibaiki.

Pada 2019, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah membuat analisis dan mengesahkan bangunan kantin sekolah terbabit tidak boleh digunakan sepenuhnya dan berbahaya kepada murid.

KPM berkata pihak sekolah memaklumkan telah menyediakan khemas khas untuk kegunaan murid dan guru ketika waktu rehat sementara menunggu kerja-kerja pembinaan semula kantin terbabit dijalankan.

Pihak sekolah juga telah meletakkan pita larangan memasuki kawasan kantin atas faktor keselamatan setelah diisytiharkan tidak selamat oleh JKR, menurut KPM.

“KPM sentiasa komited untuk memastikan sekolah berada dalam keadaan baik, selamat dan kondusif untuk keselesaan semua murid dan guru,” katanya. -Bernama