hamden07/05/2026 - 10:27 KD Maharaja Lela semasa melakukan ujian pelayaran dekat perairan Pulau Pangkor. editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Mei - Projek kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah sekian lama tertangguh bakal berdepan cabaran baharu yang mungkin akan menambah kelewatan susulan tindakan Norway melarang eksport peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) ke Malaysia.
Menurut laporan MalaysiaKini, kerajaan kini menggunakan saluran diplomatik dengan Norway bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung keputusan tersebut serta menentukan tindakan susulan demi melindungi kepentingan negara.
“Pada masa sama, Kementerian Pertahanan akan terus memastikan kesiapsiagaan negara dan keperluan pertahanan strategik tidak terjejas, sambil mengekalkan hubungan baik yang telah lama terjalin dengan Norway,” katanya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam kenyataan semalam.
Kenyataan itu sebagai mengulas laporan portal Malaysian Defence yang mendakwa kerajaan Norway telah mengharamkan eksport NSM ke Malaysia susulan perubahan dasar kawalan eksport senjata negara berkenaan.
Berdasarkan maklumat semasa, setiap lima kapal LCS kelas Maharaja Lela milik TLDM sebelum ini dirancang dilengkapi lapan unit NSM yang berfungsi sebagai peluru berpandu anti-permukaan bagi menyerang sasaran laut dan darat dari jarak jauh.
Kapal utama projek itu, KD Maharaja Lela, dilaporkan telah memulakan ujian pelayaran pada Januari lalu dan dijadual diserahkan kepada TLDM pada Disember tahun ini.
Bagaimanapun, larangan eksport tersebut dijangka memaksa syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace, membatalkan kontrak pembekalan NSM yang dimeterai pada 2018 kerana tidak lagi dibenarkan menghantar sistem persenjataan itu ke Malaysia.
Perkembangan itu turut dijangka memberi implikasi teknikal kepada projek LCS termasuk keperluan menanggalkan pelancar NSM dan sistem pendawaian berkaitan selain mengubah sistem pengurusan tempur kapal sekiranya Malaysia memilih peluru berpandu alternatif.
Situasi berkenaan menambah tekanan kepada projek LCS yang telah lama tertangguh dan dianggap kritikal dalam usaha TLDM memperkukuh serta memodenkan armada pertahanan laut negara.
Dalam masa sama, larangan eksport itu turut menjejaskan rancangan penggantian peluru berpandu Exocet pada frigat kelas Lekiu iaitu KD Jebat dan KD Lekiu.
Menurut laporan Malaysian Defence, pelancar Exocet sedia ada pada kedua-dua kapal berkemungkinan dikekalkan kerana masih serasi digunakan bersama versi terkini peluru berpandu buatan Perancis itu.
Laporan sama turut mendakwa Khaled Nordin hanya dimaklumkan mengenai keputusan Norway itu ketika bertemu pegawai negara berkenaan pada 20 April lalu sempena pameran Defence Services Asia 2026.
Larangan tersebut dipercayai berpunca daripada dasar baharu Oslo yang mengetatkan eksport teknologi persenjataan canggih kepada negara bukan anggota Nato kecuali sekutu rapat.
Selain program LCS, TLDM kini turut melaksanakan perolehan kapal misi pesisir batch 2 dari Turkiye yang bakal dilengkapi peluru berpandu Atmaca bagi memperkukuh keupayaan pertahanan maritim negara. - DagangNews.com



