Projek LMS Batch 3 jadi perhatian, peruntukan kapal perang termoden TLDM dalam bajet RMK13

LocalPolitics
16 Jul 2025 • 9:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek LMS Batch 3 jadi perhatian, peruntukan kapal perang termoden TLDM dalam bajet RMK13

image is not available

16/07/2025 - 09:11

Korvet kelas Al Zubarah milik Qatar yang dibina oleh Fincantieri. Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Projek kapal misi pesisir (LMS) Batch 3 TLDM kini menjadi perhatian utama sebagai penunjuk penting Kementerian Pertahanan (Mindef) terhadap pemodenan aset masa hadapan armada negara.

LMS dengan nilai keseluruhan projek kira-kira RM6 bilion juga merupakan perolehan terbesar TLDM selepas kapal tempur pesisir (LCS).

Sepertimana dijangka, peruntukan untuk LMS Batch 3 akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bermakna kesinambungan pembinaannya diteruskan.

Ini ditegaskan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin apabila memaklumkan semua perolehan baharu Mindef akan diketahui selepas pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dijangka akhir Julai.

image is not available
Mohamed Khaled semasa mengadakan lawatan kerja ke Itali baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan desas-desus perolehan kapal perang itu susulan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali baru-baru ini.

Perbincangan mengenai LMS Batch 3 turut mendapat tempat dalam lawatan rasmi Perdana Menteri ke Eropah.

Negara seperti Itali bukan sahaja menawarkan rekaan kapal baharu, bahkan menyediakan tawaran kredit bagi memudahkan pembelian aset pertahanan.

Firma Itali, Fincantieri yang sebelum ini pernah membina empat buah korvet kelas Laksamana untuk TLDM pada 1990an, sekali lagi menunjukkan minat mendalam terhadap projek ini.

image is not available
Rekabentuk kapal FCX20 Fincantieri.

image is not available
Kapal FCX15.

Antara model kapal Fincantieri yang berpotensi sebagai calon LMS Batch 3 sama ada FCX15 atau FCX20 yang sarat dengan teknologi pertahanan maritim moden.

Bagi program LMS Batch 3, kerajaan dipercayai akan menawarkan kontrak berkenaan pada tahun 2027 atau 2028.

Jika LMS Batch 3 dipilih daripada rekaan Itali, ini bermakna TLDM memiliki kapal LMS dari tiga negara berbeza iaitu China (Batch 1), Turkiye (Batch 2) dan Eropah (Batch 3).

Ini membawa implikasi besar daripada sudut logistik, penyenggaraan, latihan kru dan integrasi sistem persenjataan.

TLDM sebelum ini menetapkan pelan menyeragamkan perolehan kapal-kapal perang untuk armada masa hadapan melalui Program Transformasi Armada '15to5' TLDM bagi menjimatkan kos dan memudahkan pengurusan.

image is not available

LMS antara 5 kelas kapal dalam program '15to5' TLDM. Atas faktor kos, projek ini dilaksanakan secara berfasa.

Maka, perolehan daripada terlalu banyak sumber boleh mencetuskan dilema jangka panjang, walaupun pada dasarnya menawarkan kelebihan dari segi diplomasi pertahanan dan pemindahan teknologi.

LMS direka untuk menjadi platform pelbagai misi, berperanan dalam rondaan, pengawasan, penguatkuasaan maritim serta bersedia diubah suai bagi keperluan misi khusus.

Disebabkan skopnya yang serba boleh dan kos lebih rendah berbanding kapal frigat atau korvet, LMS menjadi pilihan rasional dalam konteks bajet pertahanan yang terhad.

4 kapal LMS pertama TLDM dibina China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC) menerusi kontrak bernilai RM1 bilion pada April 2017.

image is not available
Kapal LMS pertama TLDM buatan China.

image is not available

image is not available

Kapal-kapal LMS kelas Keris iaitu KD Keris, KD Sundang, KD Badik dan KD Rencong adalah perolehan aset pertahanan pertama TLDM dari China.

Disebabkan kelewatan projek LCS, Mindef terpaksa mengubah rekabentuk pada kapal LMS apabila ia tidak lagi berpandukan rekaan kapal-kapal terdahulu.

Projek LMS Batch 2 melibatkan perolehan 8 buah kapal dengan anggaran perbelanjaan RM6 bilion, dilaksanakan dalam dua fasa melibatkan 3 dan 5 buah kapal.

TLDM memilih firma STM dari Türkiye membina kapal LMS Batch 2 berasaskan reka bentuk kapal korvet Kelas ADA dengan kontrak bernilai RM2 bilion.

image is not available
Kapal kelas ADA yang menjadi rekaan asas LMS Batch 2 TLDM.

image is not available

Pembelian ini melalui memorandum persefahaman Government-to-Government (G2G) yang mana STM telah dilantik sebagai kontraktor utama.

Kapal LMS Batch 2 yang mempunyai keupayaan peperangan pelbagai dimensi bakal meningkatkan keupayaan tempur dan operasi TLDM apabila dioperasikan nanti.

Pembinaan kapal-kapal LMS Batch 2 ini sedang berjalan di limbungan Istanbul Shipyard, Turkiye yang mana kapal pertama dijangka siap pada tahun 2027.

Apa yang jelas, LMS Batch 3 akan menjadi salah satu projek pertahanan terpenting negara dalam dekad ini.

image is not available
Kapal Gowind milik Mesir (bawah) dan korvet ADA Türkiye belayar dalam latihan bersama. Dua jenis kapal sama ini bakal menjadi aset TLDM tidak lama lagi.

Namun begitu, persoalan yang wajar diperhalusi adakah TLDM mampu terus berpegang dengan pendirian dalam pemilihan reka bentuk kapal sedia ada iaitu dari Türkiye?

Apakah Mindef akan beralih pada pendekatan era lalu iaitu 'campuran' daripada pelbagai negara sekiranya rekabentuk LMS Batch 3 nanti berpihak kepada negara lain. - DagangNews.com

standard