Projek loji gas Paka dijangka tambah 2.5% kepada harga sasaran TNB - RHB Research

LocalBusiness & Finance
16 Feb 2026 • 10:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Projek loji gas Paka dijangka tambah 2.5% kepada harga sasaran TNB - RHB Research image is not available hamden16/02/2026 - 10:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Feb – Projek pembinaan loji janakuasa gas berkapasiti 1.4GW di Paka, Terengganu dijangka memberi impak positif kepada penilaian Tenaga Nasional Bhd (TNB), dengan anggaran pertambahan sekitar 2.5% kepada harga sasaran (TP) semasa yang disarankan oleh RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan andaian TNB memegang 50% kepentingan dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan bagi melaksanakan projek berkenaan, melibatkan perbelanjaan modal (capex) kira-kira RM5 bilion serta kos purata wajaran modal (WACC) sebanyak 8.2%.

 

"Bagaimanapun, sumbangan projek tersebut kepada pendapatan kumpulan dijangka hanya bermula pada tahun 2030, selaras dengan sasaran tarikh operasi komersial loji berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Jumaat lalu, Suruhanjaya Tenaga (ST) mengumumkan TNB antara pemenang besar dalam proses bidaan bagi pembangunan loji janakuasa gas baharu serta lanjutan operasi loji janakuasa sedia ada termasuk pembinaan loji janakuasa kitaran gabungan berkapasiti 1,400 megawatt (MW) di Paka, Terengganu.

 

RHB berkata, dengan tempoh pembinaan sekitar tiga tahun, perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 15 tahun dijangka dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini.

 

Dalam perkembangan sama, TNB difahamkan masih dalam perbincangan untuk membangunkan satu lagi loji gas berkapasiti 1.4GW menerusi projek Paka Repowering bersama AM Generation, juga di Paka. 

 

Langkah ini dilihat signifikan dalam menangani potensi kekurangan kapasiti penjanaan elektrik yang dianggarkan mencecah 5 hingga 6GW menjelang 2030.

 

Menurut RHB, sekiranya dimuktamadkan, projek kedua itu berpotensi menambah sekitar 2.5% lagi kepada penilaian semasa TNB.

 

Lanjutan PPA kukuhkan aliran tunai

Dalam perkembangan berkaitan, ST turut mengumumkan lanjutan PPA bagi tiga loji TNB melibatkan kapasiti 310MW di Gelugor, 249MW di Putrajaya dan 703MW bagi PD1.

 

RHB berkata. lanjutan ini dijangka terus menyokong kestabilan aliran tunai dan profil pendapatan kumpulan dalam tempoh sederhana.

 

Dari segi prestasi kewangan, TNB dijangka mengumumkan keputusan suku keempat berakhir 2025 (4Q25) pada 26 Februari ini.

 

RHB Research mengunjurkan keuntungan bersih sekitar RM1.3 bilion, meningkat 81% tahun ke tahun dan 30% suku ke suku, disokong penurunan kadar cukai efektif kepada 17% hasil pengiktirafan elaun cukai.

 

Harga sasaran RM16.50 yang disandarkan kepada nisbah harga-keuntungan (P/E) 19 kali bagi FY26F, menawarkan potensi kenaikan sekitar 18% selain anggaran hasil dividen 4%.

 

Penerima manfaat utama NETR

Menurut RHB, secara keseluruhan, TNB dilihat sebagai penerima manfaat utama Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dengan kerangka kawal selia sedia ada menyediakan asas pendapatan yang stabil dan boleh diramal.

 

Namun, antara risiko yang perlu diberi perhatian termasuk pelaksanaan cukai karbon, kelewatan kelulusan perbelanjaan modal serta peningkatan kadar cukai efektif yang boleh menjejaskan unjuran keuntungan masa hadapan. - DagangNews.com

Terkini featured standard